City buru tiket Liga Juara-Juara

Sunday, April 24, 2011
BLACKBURN - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya melupakan seketika aksi final Piala FA menentang Stoke City pada 14 Mei depan.

Sebaliknya, pengendali dari Itali itu berharap City akan memberi tumpuan untuk menjamin tempat dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

City hampir menamatkan kemarau gelaran selama 35 tahun selepas Yaya Toure meledak gol kemenangan pasukan itu ketika menewaskan Manchester United 1-0 pada aksi separuh separuh akhir Piala FA, 16 April lalu.


Begitupun, sebelum beraksi di pentas final itu, City akan berdepan Blackburn Rovers dalam saingan Liga Perdana England pada awal pagi esok.

Selepas itu, City perlu menghadapi pula West Ham United, Everton dan Tottenham Hotspur dalam pemburuan tempat keempat pada saingan liga musim ini.

Menamatkan cabaran di tempat keempat yang juga slot terakhir ke Liga Juara- Juara adalah lebih penting buat Mancini selain menjuarai Piala FA.

Mancini berkata, beliau akan memastikan para pemain memberi fokus sepenuhnya pada aksi Liga Perdana England dan tidak mahu pemikiran pemain terarah ke Stadium Wembley.

"Saya rasa, sekiranya kami memenangi tiga atau empat daripada enam baki perlawanan terakhir musim ini, peluang kami lebih cerah dan tidak bergantung pada pasukan lain," kata Mancini.

"Jika kami mempunyai fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya, kami akan memenanginya.

"Sukar untuk memikirkan mengenai final Piala FA ketika ini kerana kami mempunyai empat perlawanan yang sangat sukar dan penting untuk dihadapi.

"Apa yang lebih penting ketika ini adalah fokus pada baki empat perlawanan Liga Perdana England dan selepas itu baru kami memikirkan mengenai final Piala FA. Kemenangan ke atas United sudah berlalu.

"Lawan kami selepas ini adalah Blackburn dan West Ham, dua pasukan ini berge- lut untuk keluar dari zon penyingkiran, sekali gus menjadikan perlawanan itu sangat berbahaya." - AFP


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)