Arsenal cari penawar di Udinese

Tuesday, August 23, 2011
Selepas gagal dua aksi pertama EPL


PARIS: Arsenal membawa bekalan 1-0 ke Itali esok menjelang pertemuan kedua play-off Liga Juara-Juara menentang Udinese, manakala Bayern Munich dan Lyon juga memburu tempat ke saingan peringkat kumpulan.

Barisan Arsene Wenger sudah mengatasi rasa kehilangan Cesc Fabregas yang berpindah ke Barcelona serta ketiadaan beberapa pemain penting lain untuk mencari kelebihan awal hasil jaringan Theo Walcott dalam perlawanan pertama.

Namun Udinese tidak bernasib baik mendapat jaringan di tempat lawan dan berharap menterbalikkan situasi itu di gelanggang sendiri, terutama ketika tahap keyakinan lawan Inggeris itu semakin rapuh selepas kekalahan 0-2 di tempat sendiri kepada Liverpool, beberapa hari lalu.

Keputusan itu bermakna Gunners gagal menemui sasaran dalam dua perlawanan awal musim buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun, manakala peluang menyekat Udinese daripada menjaringkan gol pula tampak sukar selepas kecederaan yang dialami Laurent Koscielny.

Selepas kekalahan kepada Liverpool, Wenger menyifatkan kunjungan ke Udinese sebagai ‘amat penting’ tetapi sukar untuk menjangka ke mana arah Gunners andai mereka gagal melangkah ke saingan peringkat kumpulan.

Udinese belum memulakan kempen domestik, jadi barisan bimbingan Francesco Guidolin mampu memberi tumpuan sepenuhnya untuk menewaskan Arsenal dan kembali ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara buat kali pertama sejak 2005-06.

Sementara itu, Bayern Munich yang memasang hasrat besar mahu melangkah terus ke final yang akan diadakan di gelanggang mereka sendiri, Allianz Arena sudah meletakkan sebelah kaki ke saingan peringkat kumpulan hasil kemenangan 2-0 ke atas FC Zurich 2-0 pada perlawanan pertama.
Lyon juga bersiap sedia berdepan Rubin Kazan selepas kemenangan mengagumkan 3-1 ke atas wakil Russia itu dalam perlawanan pertama, walaupun menanti tanpa kelebihan moral selepas hanya seri 1-1 dengan Brest.

Semi finalis 2006, Villarreal pula perlu menterbalikkan kekalahan 0-1 dalam perlawanan pertama kepada kelab kurang terkenal Odense manakala Benfica dijangka mudah mengatasi Twente Enschede walaupun terikat 2-2 dalam perlawanan pertama di Belanda. – AFP


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)