Impian Arsenal musnah

Sunday, May 8, 2011

LONDON – Arsenal sudah boleh melupakan gelaran juara Liga Perdana Engalnd musim ini. Impian skuad The Gunners untuk terus bersaing merebut kejuaraan itu sudah berakhir setelah tewas mengejut 1-3 kepada Stoke City malam tadi.


Malah kedudukan Arsenal di tangga ketiga juga semakin tergugat sekiranya pasukan di tangga keempat, Manchester City berjaya menewaskan Tottenham Hotspur di Eastlands awal pagi Rabu ini.

Arsenal dan City kini hanya dibezakan dengan lima mata tetapi City kurang satu perlawanan.

Pada aksi di Stadium Britannia itu, Stoke memperoleh gol pertama pada minit ke-28 apabila Kenwyne Jones menolak masuk hantaran Jermaine Pennant.

Tuan rumah mengukuhkan kedudukan pada minit ke-40 apabila rembatan Pennant dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny.

Tersentak dengan dua jaringan itu, pengurus Arsenal, Arsene Wenger melakukan dua pertukaran serentak sebaik babak kedua bermula dengan memasukkan Marouane Chamakh serta Nicklas Bendtner menggantikan Aaron Ramsey dan Andrey Arshavin.

Hanya pada minit ke-80, Arsenal berjaya merapatkan kedudukan menerusi ledakan Robin van Persie.

Namun seminit kemudian, Stoke menambah gol ketiga hasil sepakan kaki kanan Jonathan Walters.

Baki dua lagi perlawanan selepas ini menyaksikan Arsenal akan bertemu Aston Villa dan Fulham.

Pada perlawanan terdahulu, Wolverhampton Wanderers menewaskan West Bromwich Albion 3-1. – Agensi


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)