Perang di Nou Camp

Monday, May 2, 2011

BARCELONA, Sepanyol - Barcelona memegang kelebihan pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Real Madrid hari ini, apabila pertembungan siri keempat sesama gergasi bola sepak Sepanyol itu menutup tirai dengan memburu slot ke perlawanan akhir.


Messi memastikan kemenangan 2-0 ke atas Real Madrid yang akan beraksi tanpa pemain pertahanan Sergio Ramos dan Pepe serta Jose Mourinho, yang digantung selepas diarah meninggalkan padang pada separuh akhir pertama.

Madrid perlu meninggalkan taktik permainan bertahan yang digunakan dalam tiga pertembungan sebelum ini, termasuk ketika memenangi final Piala Raja Sepanyol.

Ia dijangka satu lagi pertembungan 'panas' di Nou Camp selepas kedua-dua kelab mengemukakan bantahan kepada UEFA.

Barcelona membuat laporan mengenai Mourinho yang mengkritik Pep Guardiola kononnya Barca memenangi Liga Juara-Juara 2009 selepas 'perlawanan penuh skandal di Bridge' apabila Chelsea dinafikan beberapa penalti ketika kalah pada separuh akhir.

Mourinho mengkritik pengadil Frank de Bleeckere yang dikatakan memihak Barca pada separuh akhir tahun lalu menentang Inter Milan.

Selain isu luar padang, perlawanan hari ini juga merupakan ujian terbesar buat Mourinho, yang berkata peluang mereka berakhir selepas keputusan perlawanan pertama.

Mourinho perlu menunjukkan keberanian, sambil berharap pasukannya mampu meledak dua gol, bagi memastikan perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Ia bukan masalah kerana dia memiliki Cristiano Ronaldo yang direhatkan ketika mengalahkan Zaragoza 3-2 Sabtu lalu.

Sebaliknya Barcelona berdepan isu kecederaan dan menunggu keputusan sama ada Andres Iniesta dapat beraksi.

Penyerang Gabriel Milito cedera ketika kalah 1-2 kepada Real Sociedad Sabtu lalu.

Kekalahan pertama Barcelona dalam La Liga selepas tujuh bulan, menghentikan rekod tanpa kalah kepada 31 perlawanan sahaja.

Kelab Catalan itu mengakui perlawanan dengan Madrid merupakan gangguan.

"Apa yang berlaku hari ini merupakan pengajaran. Seperti mana-mana pasukan, kami juga boleh menang atau kalah,'' kata Guardiola. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)

1 Komen:

  1. Ayie said...:

    Pemenangnya ialah Barca.. hahaha