Dalglish puji hatrik Rodriguez

Sunday, April 24, 2011
LIVERPOOL - Pengurus Liverpool Kenny Dalglish berkata, Maxi Rodriguez layak menerima 'tabik' selepas hatriknya membantu kemenangan besar Liverpool 5-0 ke atas Birmingham, kelmarin.

Jaringan pembukaan Rodriguez sebelum diikuti Dirk Kuyt yang mengumpul tujuh gol dalam enam pertemuan liga meletakkan Liverpool dalam laluan selesa untuk mencari kedudukan empat teratas.

Rodriguez, yang juga pemain tengah Argentina melengkapkan jaringan treble, kelmarin dengan dua lagi penyudah menarik sebelum Joe Cole melengkapkan pesta Reds di Anfield itu.


Setakat ini, Liverpool masih kekal di tangga keenam, ketinggalan empat mata di belakang pasukan tangga keempat, Manchester City.

Kemenangan itu juga membuktikan betapa Dalglish mampu menjulang semula Reds kembali ke puncak.

"Saya rasa kami berhak menang dan saya rasa mereka telah mempamerkan persembahan yang bagus. Hari ini sungguh bermakna buat saya.

"Maxi seorang pemain yang bijak. Malah, yang lain juga bermain baik seperti apa yang diharapkan semasa latihan. Mereka berhak menang.

"Dia tidaklah sehebat hari ini (kelmarin) dalam beberapa minggu lalu tetapi hari ini dia telah melakukan tugasnya dengan baik untuk kami.

"Lazimnya pemain akan beraksi dengan baik jika ada keyakinan tinggi," kata Dalglish.

Tugas Dalglish bersama Reds akan menuju penghujung pada akhir musim ini, melainkan dia dilantik semula ke jawatan itu secara tetap.

"Tiada apa yang mahu ditokok tambah. Kalau ada perkara yang seharusnya diberitahu, kami akan memaklumkannya," ujarnya. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)