Tottenham masih belum menyerah kalah

Sunday, April 24, 2011

LONDON - Pengurus Tottenham Hotspur, Harry Redknapp tetap optimis skuad kendaliannya mampu menamatkan saingan di tempat keempat saingan Liga Perdana England musim ini.

Kedudukan itu bakal melayakkan Tottenham secara automatik ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.


Begitupun, selepas mencatat keputusan seri 2-2 dengan West Bromwich Albion kelmarin, sasaran itu di- lihat semakin sukar.

"Ia bakal menjadi sukar tetapi peluang kami masih terbuka. Saya berdepan kesukaran selepas semua orang meletakkan sasaran untuk kami layak ke saingan Liga Juara- Juara," kata Redknapp.

"Sebelum ini, Tottenham tidak pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara dan secara tiba-tiba kami menjadi pilihan untuk beraksi dalam kempen Eropah itu.

"Manchester City mula mengintai peluang selepas berada di atas kami. Arsenal, Manchester United dan Chelsea membuat penampilan setiap musim dan Liverpool akan berada di sana (Liga Juara-Juara) musim depan," kata Redknapp.

Pada aksi kelmarin, Tottenham dilihat hampir pasti memintas City di kedudukan keempat sekiranya menewaskan skuad The Baggies itu tetapi gol Simon Cox pada minit ke-80 telah menyukarkan sedikit kemaraan mereka.

Setakat ini, Tottenham hanya merekodkan satu kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir.

Kesemua keputusan itu telah menyebabkan mereka ketinggalan satu mata di belakang City yang mengumpul 56 mata.

City mungkin ketinggalan empat mata di belakang City sekiranya skuad bimbingan Roberto Mancini itu berjaya menewaskan Blackburn Rovers awal pagi esok.

"Sukar untuk menamatkan saingan di tempat keempat. Ia adalah satu musim yang hebat, namun ia masih belum berakhir.

"City, Arsenal, Chelsea dan United dijangka beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara setiap musim.

"Sangat sukar untuk memecahkan dominasi kumpulan itu tetapi kami masih berpeluang. Tidak ada bezanya antara City dan pasukan di kedudukan teratas yang lain. Kami hanya dibezakan dengan satu mata," tambahnya. - AFP


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)