De Gea mampu beri impak

Tuesday, June 28, 2011

MADRID - Penjaga gol Liverpool, Pepe Reina yakin rakan senegaranya, David De Gea yang bakal disahkan sebagai pemain Manchester United dalam tempoh terdekat, mampu membuat impak segera dalam kancah Liga Perdana England.

Penjaga gol muda, De Gea semakin menghampiri perpindahan bernilai 18 juta pound (RM90 juta) ke Old Trafford dari Atletico Madrid, selepas dilaporkan menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta di Carrington, kelmarin.

Meskipun masih cetek pengalaman kerana beraksi pada tahap tertinggi kurang dari dua tahun, Reina menjangkakan De Gea akan menjadi bintang segera di England dan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Edwin Van der Sar.

"Saya sangat mengalu-alukan berita ini kerana David seorang penjaga gol yang hebat. Apabila secara rasmi dia mula beraksi dalam Liga Perdana, dia akan membuktikan betapa dia seorang yang memang bagus," ujar Reina.

Penghijrahan De Gea secara tidak langsung mengaitkan kemungkinan Reina kembali ke La Liga, menggantikan De Gea di Atletico, pasukan yang menyaksikan bapanya, Miguel menjadi legenda.

Sebelum ini, Miguel mendakwa Reina berhasrat menyarung jersi Atletico, namun bintang Liverpool itu menegaskan dia tidak merancang pulang ke Sepanyol buat masa ini. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)