Barcelona bertuah beli Cesc pada harga murah - Wenger

Wednesday, August 17, 2011

LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger (gambar) menganggap Barcelona cukup bertuah kerana dapat mengikat Cesc Fabregas pada harga yang cukup murah.

Ini kerana menurut Wenger, bekas kaptennya itu hanya mahu menyertai Barcelona dan tidak mahu berhijrah ke mana-mana kelab lain.

Barcelona berjaya mendapatkan khidmat Fabregas malam kelmarin dengan harga 29 juta euro (RM124.3 juta).

Nilai itu bakal meningkat ke 35 juta euro (RM150 juta) seandainya Barce- lona berjaya merangkul kejuaraan bersama Fabregas sepanjang lima tahun akan datang.


Namun Wenger tetap beranggapan dia mampu meletakkan harga lebih tinggi jika Fabregas berhijrah ke kelab-kelab lain seperti Real Madrid, Chelsea dan Manchester City yang mampu mengeluarkan wang sehingga £50 juta (RM243.2 juta) bagi mendapatkan Fabregas.

"Kami menjual Fabregas pada harga yang rendah. Jika dia boleh diletakkan di pasaran umum kepada kelab-kelab lain, kami mampu mendapatkan wang lebih banyak.

"Jika itu berlaku, kami mampu meletakkan bidaan di kalangan Real, Chelsea atau City tetapi dia hanya mahu berhijrah ke Barcelona.

"Apa yang melucukan, orang menggelar pemain jutaan pound ini sebagai murah. Memang kami mahu menjualnya dengan harga setimpal dan inilah nilai yang kami bayar dahulu," kata Wenger.

Pengendali veteran itu turut tidak mahu perjalanan Arsenal tanpa kelibat Fabregas selepas ini terus suram.

"Memang saya mahu dia kekal menyarung jersi Arsenal tetapi ini sebahagian daripada kehidupan. Kami turut pernah melihat beberapa tonggak utama meninggalkan Arsenal.

"Kami perlu fokus kepada pemain yang ada dan yakin dengan keupayaan mereka," jelas Wenger. - AFP


(umber: http://www.kosmo.com.my/)