Torres akhiri kemarau tanpa gol

Sunday, April 24, 2011
LONDON - Fernando Torres akhirnya menamatkan kemarau gol buat dirinya sebagai penyerang Chelsea pada perlawanan Liga Perdana kelmarin menewaskan West Ham dengan keputusan 3-0.

Gol pertama Torres bersama Chelsea itu hadir pada minit ke-84 di Stamford Bridge selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam 13 perlawanan lalu sejak berpindah daripada kelab Liverpool untuk menyertai The Blues awal tahun ini.


Dimasukkan untuk menggantikan Didier Drogba pada minit ke-77, Torres dengan pantas mencari peluang untuk mendapatkan jaringan untuk gol kedua menewaskan penjaga gol West Ham, Robert Green.

"Ini adalah permulaan yang saya jangkakan sewaktu menandatangani untuk bersama kelab ini bagaimanapun bukan mudah untuk terus cemerlang pada Januari dan Februari.

"Saya terus bekerja dan berterima kasih kepada semua rakan sepasukan dengan jaringan tersebut.

"Jaringan itu juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan kepada saya dan kini saya boleh untuk meraikannya," kata Torres.

Pada perlawanan kelmarin, gol pertama Chelsea diperoleh melalui Frank Lampard pada minit ke-44 sebelum Torres menambah jaringan untuk gol kedua manakala jaringan kemenangan diperoleh melalui Florent Malouda ketika perlawanan dianjak ke masa tambahan.

Dalam pada itu, Torres menegaskan dia tidak pernah tawar hati dengan permulaan yang kurang memberangsangkan sewaktu bersama Chelsea, namun mengakui berhutang gol untuk peminat kelab tersebut.

"Peminat telah banyak kali bersabar untuk melihat jaringan saya dan saya lebih risau dengan harapan peminat berbanding diri saya sendiri.

"Harapan saya ini selepas jaringan ini saya mampu untuk menjaringkan lebih banyak gol lagi," jelas Torres. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)