Nasri tinggalkan Gunners?

Wednesday, June 1, 2011

LONDON - Masa depan Samir Nasri di Arsenal amat samar ketika ini selepas pengurus pasukan, Arsene Wenger mengakui, rundingan mengenai perjanjian baru dengan pemain muda Perancis itu tergantung kerana isu gaji.

Arsenal menawarkan Nasri kontrak baru lima tahun bernilai 90,000 pound (RM446,000) seminggu, tetapi mereka mungkin terpaksa menjual pemain berusia 23 tahun itu jika dia enggan menandatangani terma baru bagi mengelak kelab London itu daripada tidak mendapat apa-apa langsung sebaik kontrak pemain tersebut tamat hujung musim depan.


Difahamkan, Nasri mahukan kenaikan gaji 110,000 pound (RM545,000) seminggu untuk meletakkannya sebaris dengan penerima gaji tertinggi kelab, Cesc Fabregas.

Buat kali pertama, Wenger mendedahkan bahawa wang menjadi kunci utama yang menyebabkan rundingan tergantung. Dia memberitahu radio Perancis: "Ada percanggahan kewangan yang belum selesai . Kami masih berunding tetapi tidak mencapai perjanjian."

Manchester United sedang mengintai rapat perkembangan Nasri, namun Wenger menegaskan: "Satu perkara yang pasti, kami tidak akan menjualnya kepada United."

Wenger kini juga dalam kebimbangan mengenai kedudukan seorang lagi bintang tengah yang juga ketua pasukan, Fabregas apabila pemain berusia 24 tahun itu terus berusaha dipancing gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona.

Malah, dia turut tertarik apabila bercakap mengenai perpindahan penyerang Real Madrid, Karim Benzema dan penyerang Lille, Gervinho, yang sebelum ini menarik perhatian kelab London itu.

"Barcelona berminat (dengan Fabregas) tahun lalu, bukan tahun ini.

"Benzema? Gervinho? Kedua-duanya adalah pemain yang menarik. Semua orang mahu memiliki pemain seperti ini dalam jentera serangan mereka,'' katanya.

Akhbar Britain, Sportsmail mendedahkan, Arsenal melancarkan tawaran 8 juta pound (RM40 juta) untuk mendapatkan Chris Samba, walaupun Blackburn menuntut sekurang-kurangnya 12 juta pound (RM60 juta) untuk tonggak pertahanan Congo itu.

"Saya setuju kami mencari tonggak pertahanan yang berpengalaman, mungkin mereka yang biasa dengan permainan bola sepak Inggeris,'' kata Wenger.

Sementara itu, Nicklas Bendtner, 23, mungkin boleh meninggalkan Arsenal hanya di bawah nilai 10 juta pound (RM50 juta), kata bapa yang juga agen pemain Denmark itu, Thomas. Bayern Munich amat berminat untuk mendapatkan pemain tersebut. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)