Wenger puji aksi pemain muda

Monday, May 2, 2011
Purata usia pemain Arsenal 23 tahun, penjaring gol, Ramsey 20 tahun


LONDON: Arsene Wenger berasa bangga dengan prestasi skuad mudanya dalam kemenangan 1-0 ke atas Manchester United kelmarin — seminggu selepas dunia tampak bersatu memberitahunya bahawa dia perlu membeli beberapa pemain berpengalaman.


Purata usia pemain Arsenal 23 tahun dan 296 hari adalah yang termuda berbanding mana-mana kesebelasan utama pasukan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini dan gol kemenangan mereka pada minit ke-56 dijaringkan oleh Aaron Ramsey yang berusia 20 tahun.

Begitupun, tanpa kehadiran kapten, Cesc Fabregas, barisan pemain muda itu mengenepikan kekecewaan rentetan aksi buruk untuk menguasai perlawanan menentang United sejak dari awal.

United jelas bermain secara konservatif dan mungkin berpuashati untuk hanya mencatat keputusan seri 0-0 bagi mempunyai kelebihan empat mata mendahului Chelsea berbaki tiga lagi perlawanan, tetapi Arsenal berhak mendapat pujian atas pendekatan positif yang ditunjukkan.

Usaha itu dan kemenangan pertama ke atas United dalam lapan perlawanan, membawa kembali senyuman di muka Wenger, yang tampak semakin berang dan marah dengan setiap kekecewaan yang dialami pasukannya sejak dua bulan lalu.

“Jika anda lihat kepada usia pemain dalam pasukan hari ini, ia suatu yang menggalakkan buat kelab, ia sangat muda,” kata pengurus berbangsa Perancis itu.

“Saya rasa kami mahu menambah apa yang diperlukan dan saya mesti berhati-hati terhadap apa yang saya katakan. Ia penting bagi kami untuk mengekalkan kepercayaan terhadap apa yang kami lakukan, anda boleh saksikan bahawa pemain terbabit meningkat apabila mereka mendapat peluang.

“Anda hanya boleh meningkat jika anda bermain tetapi orang ramai mahukan kedua-duanya, menang setiap perlawanan dan menghasilkan pemain yang menakjubkan.” Bagaimanapun, Wenger mengakui bahawa skuadnya bergelut untuk berdepan kekecewaan apabila usaha mereka untuk memenangi empat trofi berkecai hanya dalam tempoh beberapa hari. - Reuters


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)