United tambah derita Arsenal

Monday, March 14, 2011
Red Devils hidup impian buru tiga trofi

LONDON: Manchester United terus menghidupkan impian untuk memenangi tiga kejuaraan selepas menyingkirkan Arsenal daripada Piala FA, lima hari selepas pasukan dari London itu terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara, apabila menang 2-0 di Old Trafford awal pagi semalam.

Jaringan Fabio da Silva selepas 28 minit permainan dan tandukan Wayne Rooney pada minit ke-49 menyaksikan United melakar rekod mara ke separuh akhir kejohanan itu buat kali ke-27, yang akan diadakan di Wembley bulan depan.


Kejayaan itu pasti rangsangan terbaik buat pendahulu Liga Perdana bimbingan Alex Ferguson itu sebelum perlawanan timbal balik kedua 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Olympique Marseille di Old Trafford esok selepas tewas dua kali berturut-turut dalam liga kepada Chelsea dan Liverpool.

United pasti mensasarkan untuk mara ke suku akhir pertandingan utama Eropah itu selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan timbal balik pertama tiga minggu lalu untuk menghidupkan peluang mereka mengulangi pencapaian tiga kejuaraan 1999 dengan memenangi Piala Eropah, Piala FA dan Liga Perdana.

Buat Arsenal mereka terus dirundung malang selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara apabila tewas kepada Barcelona Selasa lalu dan tunduk pada final Piala Liga kepada Birmingham City di Wembley, 27 Februari lalu.


Pengurus Arsenal Arsene Wenger memberitahu wartawan: “Saya percaya kekecewaan Selasa lalu mempengaruhi permainan kami hari ini yang menyaksikan kami hilang sesuatu, bukan sikap atau kesungguhan tetapi keyakinan.”

Dia menambah: “Mereka (United) lebih klinikal dan kami menghadapi minggu yang sukar tetapi pasukan akan bangkit dan kembali fokus.” - Reuters


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)