United kempunankan Arsenal buru kejuaraan

Monday, March 14, 2011
LONDON - Hajat di hati mahu merangkul empat piala musim ini, namun malangnya satu demi satu hasrat menggunung Arsenal itu semakin jauh daripada jangkauan.

Selepas terlepas Piala Liga dua minggu lalu diikuti tersingkir di pusingan kedua Liga Juara Juara, minggu lalu, skuad bimbingan Arsene Wenger itu terus menggigit jari apabila tersingkir pula daripada kempen Piala FA, kelmarin.

Kekalahan 0-2 kepada Manchester United di peringkat suku akhir itu menyebabkan Arsenal kini tinggal satu trofi untuk diburu iaitu kejuaraan Liga Perdana England.

Paling kecewa dengan kekalahan itu sudah pastinya Wenger yang menyifatkan, segala-galanya seperti tidak menjadi buat Arsenal sejak kebelakangan ini.

"Saya tidak salahkan pemain yang telah menunjukkan keupayaan terbaik tetapi apa yang dilakukan serba tidak kena sahaja.



"Mungkin mereka terbawa-bawa kekalahan kami kepada Barcelona (pada pusingan kedua Liga Juara-Juara) yang banyak mempengaruhi keyakinan pemain.

"Namun, saya percaya ini adalah ujian terbaik buat pemain untuk memburu kejuaraan liga," tegasnya.

Ternyata tiga kekecewaan dalam tempoh dua minggu sukar untuk diterima pemain Arsenal yang sentiasa mengasak sepanjang perlawanan tetapi mendapati tujuh pemain pertahanan yang diturunkan United sukar ditembusi.


Dengan Fabio da Silva terpaksa diletakkan sebagai pemain tengah, United hanya melancarkan serangan balas pantas untuk memperoleh dua gol menerusi Fabio dan Wayne Rooney.

"Kami dapat gol yang diperlukan dan bernasib baik dapat bertahan dengan baik," kata penjaga gol United, Edwin van der Sar yang beberapa kali berjaya menyelamatkan percubaan bahaya Arsenal.

Mengulas tindakan menurunkan tujuh pemain pertahanan, pengurus United, Alex Ferguson berkata, ia terpaksa dilakukan untuk mengurangkan risiko ke atas pemain utamanya bagi menghadapi Marseille dalam aksi kedua pusingan kedua Liga Juara Juara di Old Trafford awal pagi Rabu ini.

"Saya tidak mahu merisikokan (Paul) Scholes dan (Ryan) Giggs untuk perlawanan dengan Marseille. Tengok sahaja senarai pemain tengah kami yang cedera.

"Jadi saya terpaksa menggunakan pelan pelik ini untuk memanfaatkan tenaga setiap pemain yang kami ada," katanya. - Agensi


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)