Mampukah Wenger selamatkan musim Arsenal?

Saturday, March 19, 2011
BUKANLAH sesuatu yang mengejutkan malah memang sudah diramal apabila Arsenal kalah 0-2 kepada Manchester United dalam saingan suku akhir Piala FA di Old Trafford, Sabtu lalu.

Moral pemain Arsenal jelas berada pada tahap paling rendah selepas gagal menamatkan penantian enam tahun pemburuan trofi pertama apabila tanpa disangka tumbang 1-2 kepada pasukan bawahan Liga Perdana, Birmingham City dalam aksi akhir Piala Liga.

Igauan kekalahan itu jelas terbawa-bawa dalam prestasi Arsenal. Walaupun menang5-0 ke atas Leyton Orient dalam pusingan kelima Piala FA, setelah seri tanpa jaringan dengan Sunderland sebelum disingkirkan Barcelona pada Liga Juara-Juara.

Daripada empat piala, hanya satu sahaja trofi masih boleh dimiliki oleh Arsenal iaitu Liga Perdana. Namun berdasarkan situasi terkini di kem Arsenal, penulis berasakan Gunners pasti akan mengakhiri musim ini tanpa sebarang piala sekali lagi.

Bukan mahu memandang rendah terhadap kemampuan pasukan dari London utara itu tetapi Arsenal sering kali mengulangi sejarah yang sama pada tiap-tiap musim apabila 'pancit' ketika persaingan memasuki Februari dan Mac sehingga penghujung musim.

Jika ditakdirkan Arsenal menghabiskan musim ini tanpa sebarang piala, buat penyokong setia Gunners, ia sebenarnya satu fenomena biasa saban tahun dan kebanyakan antara mereka boleh menerima keadaan itu.

Arsenal memang garang pada setiap permulaan musim namun tidak mampu mengekalkan kecemerlangan mereka itu sehingga 'ke garisan penamat' ekoran kecederaan ramai pemain utama.

Corak permainan total football yang dibawa oleh Arsene Wenger kadang-kadang memakan diri kerana menjadikan pemain Arsenal berisiko mendapat terjahan kasar pihak lawan.

Itulah yang sering berlaku kepada beberapa pemain yang menjadi nadi kekuatan Arsenal seperti Cesc Fabregas, Robin Van Persie, Theo Walcott dan Alex Song yang sering kali mendapat kecederaan ekoran permainan kasar pihak lawan.

Ditambah pula dengan ketiadaan pemain gantian yang setanding seperti mana pencabar lain seperti United dan Chelsea, Arsenal sering kali gagal menyerlah dan akhirnya tercicir dalam persaingan kejuaraan.

Adakah perkara sama akan berulang sekali lagi pada musim ini? Jawapannya mungkin terletak kepada perlawanan dengan West Brom hari ini tetapi kehilangan dua watak penting di kubu Arsenal, Johan Djourou dan penjaga gol, Wojciech Szczesny memberikan petanda buruk kepada Wenger.

Dua penggantinya, Sebastian Squllaci dan Manuel Almunia bukanlah pemain yang bagus malahan mungkin memberi laluan mudah kepada lawan memburu gol.

Arsenal diramal berdepan kesulitan besar untuk menang ke atas West Brom malam ini, tambahan lawan semakin bersemangat selepas mencatatkan kemenangan penting ke atas pesaing utama zon penyingkiran, Birmingham City 3-1.

Keyakinan West Brom juga pasti bertambah kerana dalam pertemuan pertama di Stadium Emirates, Arsenal tewas 2-3 dengan Almunia menjadi dalang di sebalik kekalahan mengejut tersebut.

Mampukah Wenger menyelamatkan musim Gunners dengan meraih trofi Liga Perdana? Jawapannya ada pada Wenger. Dia perlu mencari cara memulihkan motivasi pemain sebelum mereka hilang keyakinan.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)