Wenger - Harapan masih ada

Sunday, March 20, 2011
BIRMINGHAM - Arsene Wenger menegaskan, semangat Arsenal belum luntur untuk memburu gelaran Liga Perdana, walaupun mensia-siakan peluang merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Manchester United apabila seri 2-2 menentang West Bromwich Albion.

Gunners kini dipisahkan lima mata dengan United setelah gagal mengalahkan Albion, kelmarin, pasukan yang berada dalam zon penyingkiran.

Sekalipun memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan, namun lawan yang bakal ditentang Arsenal ialah Tottenham Hotspur yang sudah tentu bersedia untuk meranapkan penantian enam tahun Gunners meraih trofi kejuaraan.

Apa pun, selepas bangkit dari ketinggalan 0-2 ketika perlawanan hanya berbaki 20 minit, kelmarin, Wenger percaya semangat anak-anak buahnya masih utuh dan yakin mengejar United bagi memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004.

"Saya rasa tidak kira apa juga keputusan yang dicapai dalam perlawanan ini, perjuangan kami masih belum tamat. Amat penting untuk tidak tewas pada perlawanan ini.

"Saya mula tertanya-tanya, bagaimana kami mahu bangkit jika kami kalah, tetapi nampaknya kami berjaya mengelak daripada tumpas.

"Ia sesuatu yang menarik sehingga hujung permainan. Kami bersedia untuk memberi tumpuan kepada baki perlawanan selebihnya dan berjuang habis-habisan.

"Ia juga terpulang kepada sikap dan semangat bersaing yang dipamerkan oleh para pemain. Kami sebenarnya telah menunjukkan sikap tersebut pada hujung perlawanan ini.

"Berdasarkan kiraan matematik, memang kami tewas dua mata, tetapi secara psikologinya kami berjaya mengutip mata dan anda tidak boleh menunjukkan rasa tidak gembira kerana berjaya meraih satu mata, lebih-lebih lagi ketika anda ketinggalan 0-2 dengan 70 minit baki perlawanan yang masih tinggal," tegas Wenger.

Wenger berhak untuk berasa kecewa dengan kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol berprofil tinggi, Manuel Almunia yang membuka laluan kepada gol kedua buat Albion.

Namun, di sebalik penyertaan Jens Lehmann, 41, untuk kontrak jangka pendek sehingga hujung musim ini, pengurus tersebut masih yakin dengan keupayaan Almunia.

"Saya tidak mahu mengkritik sesiapa pun. Terdapat beberapa pemain terlibat yang menjadi punca kepada gol kedua itu dan mereka tahu apa yang telah mereka lakukan," katanya.

Sementara itu, bos Albion, Roy Hodgson yang ternyata kecewa setelah anak-anak buahnya melepaskan dua gol, mengakui, dia tidak pasti pemain yang mana bakal melaporkan diri untuk tugasan antarabangsa.

Pemain Ireland Utara, Chris Brunt yang dikatakan demam, dilihat beraksi, kelmarin, sementara pemain Scotland, James Morrison mengalami luka sebesar 10 sentimeter pada kepalanya dan pemain Austria, Paul Scharner mengalami gegaran di kepalanya pada separuh pertama.

"Kami berhadapan masalah dengan Scharner yang mengalami gegaran di kepala manakala kepala Morrison pula luka.

"Saya tidak pasti berapa jahitan yang dia kena. Brunt pula baru pulih dari demam dan saya tidak yakin dia boleh bermain. Saya terkejut apabila pegawai perubatan mengesahkan yang dia cergas.

"Saya harap Persatuan Bola Sepak (FA) Austria bertimbang rasa dan tidak mengarahkannya pulang ke tanah air. Anda tidak boleh mengambil risiko dengan kecederaan di kepala.

"Saya harap pihak FA Austria akan mengambil kira proses pemulihan yang perlu dilalui pemain, daripada mengarahkannya terbang pulang.

"Kecederaan di kepala tidak boleh dipandang mudah dan saya harap dia akan berehat secukupnya dan dapatkan pandangan doktor," kata Hodgson. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)