BolaShebbie: Pengadil atau diktator?

Friday, March 11, 2011
PADA 15 Februari lalu di Stadium San Siro, ketika perlawanan Liga Juara-Juara di antara AC Milan menentang Tottenham Hotspur, pemain tengah Milan Mathieu Flamini menerjah ke arah Vedran Corluka dengan kedua-dua belah kakinya.

Akibatnya, Corluka cedera parah dan terpaksa diusung keluar padang. Tindakan pengadil adalah sekadar amaran kad kuning.


Pada 6 Mac pula, di Stadium Anfield dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Manchester United, pemain pertahanan The Reds, Jaime Carragher menerjah ke arah Nani dengan kedua dua belah kaki. Akibatnya, kaki Nani cedera teruk! Tindakan pengadil perlawanan adalah amaran kad kuning.


Dua hari selepas itu di Stadium Camp Nou, dalam perlawanan Liga Juara-Juara i antara Barcelona menentang Arsenal, penyerang Robin van Persie menyepak bola selepas pengadil meniup wisel. Tindakan pengadil adalah amaran kad kuning. Itu adalah kad kuning kedua van Persie dalam perlawanan itu yang bermakna dia terpaksa meninggalkan padang.


Pembaca kolum ini sudah tentu sedar saya kurang selesa dan senang dengan tahap pengadilan keseluruhan dan sekali lagi kita menyaksikan keputusan pengadil yang amat mengelirukan.

Dalam dua insiden pertama yang saya nyatakan tadi, kad merah harus dilayangkan kepada Mathieu Flamini serta Jaime Carragher kerana tindakan yang begitu kasar dan merbahaya.

Pemain yang dikasari cedera parah akibat tindakan itu.

Apakah agaknya dalam minda kedua-dua pengadil - Stephane Lannoy dari Perancis dan Phil Dowd dari England - pada waktu insiden itu berlaku? Bukankah seharusnya, Massimo Busacca dari Switzerland menggunakan budi bicara terhadap Robin van Persie yang ketika itu sudah miliki kad kuning? Jelas bahawa perkataan budi bicara dan pengadil sudah tidak serasi lagi dalam dunia bola sepak. Jelas pengadil sudah mula bertukar menjadi diktator di atas padang! Jelas bahawa pengadil sudah menjadi bintang bola sepak dunia. Setahu saya Undang-undang Perlawanan masih lagi sama di semua negara.

Dan Fifa melaung-laungkan kempen Fair Play ke semua pelusuk bumi ini!


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)