Malaysia, Cardiff tubuh akademi bola sepak

Tuesday, April 5, 2011
Daripada Zaharah Ohman di London
bhsukan@bharian.com.my
2011/04/06
 
JUARA Asia Tenggara, Malaysia sudah menubuhkan akademi bola sepak bersama juara Kejuaraan Inggeris (Bahagian Dua), Cardiff City dalam usaha meningkatkan kemajuan pasukan remaja kebangsaan.


Akademi berkenaan yang bakal berlokasi di Malaysia turut akan membantu dalam pertukaran program antara jurulatih Cardiff City dan negara ini.

“Menerusi persefahaman ini kami berharap dapat memperoleh satu keuntungan dengan program yang kami berkongsi bersama,” kata Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dia berada di Cardiff, minggu lalu untuk menyaksikan perlawanan liga yang berkesudahan tuan rumah menewaskan Derby County 4-1.

“Kita berharap satu hari nanti dapat melihat pemain Malaysia bermain untuk Cardiff,” tambahnya.

Kelab dari Wales itu diambil alih oleh dua rakyat Malaysia, Chan Tien Ghee dan Vincent Tan, Mei lalu dan kini menduduki tangga ketiga liga kejuaraan. Dua pasukan teratas akan layak automatik ke Liga Perdana Inggeris.

Walaupun sudah memenangi gelaran Piala Suzuki, Disember tahun lalu dan memiliki liga tempatan yang popular, Malaysia hanya berada pada ranking ke-138 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan sedang cuba untuk mencari kedudukan terpuji lagi.



(Sumber: http://www.bharian.com.my/)