Peminat Arsenal, Liverpool kena sabar

Thursday, April 7, 2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

KUALA LUMPUR – Buat peminat Liverpool dan Arsenal, diharapkan boleh bersabar, ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengesahkan status perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaya dengan dua kelab gergasi Liga Perdana England itu hanya diketahui selepas 10 April ini.

Hanya perlawanan membabitkan dengan Chelsea sahaja sudah pasti dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijadualkan pada 21 Julai ini.



Demikian pengesahan yang diberikan oleh Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad bahawa pihaknya masih belum dapat membuat sebarang pengesahan mengenai kedatangan kedua-dua kelab tersebut ke Malaysia.

‘‘Mengikut perancangan, sepatutnya sudah ada satu sidang media pada hari ini (semalam) mengenai perlawanan persahabatan skuad Malaysia dengan Liverpool dan Chelsea sama ada jadi atau tidak.

‘‘Namun, ekoran masih terdapat beberapa perkara yang masih perlu diteliti, selepas 10 April ini sidang media itu akan dinantikan.

‘‘Buat masa ini hanya Chelsea sahaja dapat memberikan pengesahan akan datang ke sini, ” katanya yang dihubungi, semalam.

Pada 23 Mac lalu, Azzuddin pernah membuat pengumuman bahawa Chelsea dan Liverpool akan menguji skuad Harimau Malaya pada bulan Julai depan dan Arsenal berkemungkinan turut mengikuti jejak langkah kedua-dua pasukan berkenaan.

Buat masa ini, hanya satu perlawanan persahabatan berkelas A telah diaturkan oleh FAM iaitu bertemu Hong Kong pada 3 Jun nanti.

Walaupun begitu, berdasarkan pemerhatian Utusan Malaysia, tarikh 21 Julai yang dipilih untuk berdepan Chelsea dijangka menimbulkan polemik besar kepada skuad kendalian K. Rajagobal jika Harimau Malaya dapat melangkah ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014.

Ini kerana perlawanan membabitkan Malaysia atau Taiwan berdepan Singapura dijadualkan pada 23 Julai, hanya dua hari selepas bertemu Chelsea, satu kemungkinan yang kurang logik di situ.

Ia sudah pasti menimbulkan persoalan sama ada skuad kebangsaan bakal diturunkan dalam perlawanan berkenaan atau FAM mempunyai pilihan lain.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)