Capello puji Wishere

Sunday, March 27, 2011



LONDON - Jurulatih England, Fabio Capello memberi pujian melangit terhadap Jack Wilshere setelah pemain tengah muda berbakat itu menjadi nadi utama ketika mereka menewaskan Wales 2-0 pada aksi Kelayakan Euro 2012 malam kelmarin.

Pemain Arsenal itu hanya beraksi 52 minit bersama England sebelum ini dan prestasi terbaiknya pada aksi menentang Wales membolehkan England kini kembali ke landasan untuk layak ke pusingan akhir Euro 2012.

Biarpun dua jaringan England pada perlawanan itu dibuat oleh Frank Lampard dan Darren Bent, Wilshere yang baru berusia 19 tahun lebih mendapat pujian Capello.

"Persembahan Wilshere sepanjang musim ini cukup menakjubkan. Dia telah mempamerkan peningkatan dalam tempoh yang singkat," kata Capello.

Wilshere kini sedang dalam landasan terbaik untuk menjadi pilihan utama di jentera tengah bersama-sama Lampard di hadapan Scott Parker yang beraksi sebagai pemain tengah bertahan pada aksi malam kelmarin.

"Saya telah berbicara dengan Arsene Wenger (pengurus Arsenal) dan beliau turut bercakap perkara yang sama iaitu luar biasa. Wilshere beraksi seperti pemain berusia 28 tahun dengan 35 hingga 40 caps antarabangsa," jelas Capello.

Sementara itu, Wilshere sendiri enggan hanyut dengan pujian melambung terhadapnya.

"Memang ia perkara yang mahu saya dengar tetapi pada usia baru 19 tahun ini, masih terdapat pemain-pemain hebat lain seperti Steven Gerrard yang akan kembali ke dalam pasukan.

"Cuma saya perlu terus berkerja keras bersama pasukan kelab dan melihat sama ada Capello akan terus memanggil saya untuk tugasan antarabangsa atau sebaliknya," kata Wilshere.

Namun Capello sedikit kecewa apabila Wayne Rooney dilayangkan kad kuning pada minit ke-37, sekali gus menyebabkan penyerang Manchester United itu terlepas aksi seterusnya bertemu Switzerland di Wembley pada Jun depan. - AFP



(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)