Capello sedia berperang rebut Carroll, Wilshere

Monday, March 28, 2011
LONDON - Pengurus England, Fabio Capello sedia untuk 'berperang' bagi mendapatkan khidmat dua bintang muda, Jack Wilshere dan Andy Carroll.

Capello menyokong penuh hasrat pengurus skuad Bawah 21 England, Stuart Pearce, yang mahu memilih pemain terbaik bagi menghadapi Pusingan Akhir Kejohanan Eropah Bawah 21 di Denmark pada 11-25 Jun ini.

Ini bermakna, Capello perlu bertarung dengan pengurus Arsenal dan Liverpool, Arsene Wenger dan Kenny Dalglish yang pastinya keberatan untuk melepaskan pemain tonggak kelab masing-masing.

Capello berkata, kejohanan Bawah 21 ialah satu pertandingan yang penting dan keputusan harus dibuat oleh pengurus Arsenal.

"Wilshere beraksi dalam banyak perlawanan musim ini dan menjadi tonggak utama Arsenal, tetapi dia juga sekarang pemain penting untuk pasukan kebangsaan dan Bawah 21.

"Wilshere sememangnya mahu bermain, saya amat pasti," jelas Capello.

Mengenai Caroll, pengurus kelahiran Itali itu menganggap ia satu perkara yang baik bagi penyerang Liverpool tersebut selepas direhatkan selama dua bulan.

"Carroll tidak bermain selama dua bulan dan adalah bagus jika dia diberi peluang beraksi lebih banyak perlawanan," ujarnya.

Capello merasakan kejayaan berganda Sepanyol mengungguli Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 adalah hasil keberkesanan sistem pembangunan remajanya yang membiarkan pemain muda menimba pengalaman dalam pertandingan besar seperti kejohanan Bawah 21.

Namun, Wenger tidak mahu Wilshere terlibat dalam kejohanan Eropah dan aksi kelayakkan Euro 2012 menentang Switzerland pada 4 Jun ini.

Liverpool juga percaya Carroll seharusnya berehat.

Wilshere sebelum ini pernah menyatakan: "Saya mahu bermain dalam apa jua bola sepak antarabangsa." - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)