Bola tidak mahu jadi 'korban' awal

Friday, August 5, 2011

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

PUTRAJAYA - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah nasib yang boleh dikatakan mengenai skuad bola sepak negara ke temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011), Shenzen, China.

Sekumpulan dengan tiga negara kuasa besar bola sepak, Brazil, Rusia dan juara bertahan, Ukraine, mungkin sudah ramai boleh membayangkan nasib yang akan dialami pasukan Malaysia.

Mendapatkan keputusan seri pun dilihat sukar apatah lagi mahu mencatat kemenangan memandangkan ketiga-tiga negara tersebut jelas berada dalam kelas tersendiri berbanding Malaysia.

Hakikat itulah yang difahami oleh kapten pasukan, Mohd. Bunyamin Omar yang tidak rela pasukannya menjadi skuad belasahan ketika berdepan Brazil, Rusia dan Ukraine.

Oleh itu, demi mahu memastikan menjaga nama baik Malaysia, dia dan rakan sepasukannya mungkin terpaksa berkorban untuk mengerjakan ibadah puasa ketika berjuang di bumi China.

''Kami mungkin tidak berpuasa pada hari perlawanan nanti selepas dinasihati oleh para pegawai memandangkan selepas melalui beberapa perlawanan ujian, jelas kami semua tidak mampu bermain di tahap optimum.

''Apa yang dibimbangi, jika kami berpuasa di sana nanti, kelak kami mungkin menjadi pasukan belasahan dan saya tidak sanggup melihat kami dibelasah dalam setiap perlawanan.

''Pendekatan musafir mungkin diambil dan pengorbanan sebegini harus dilakukan supaya kami mampu memberikan saingan di sana, " kata pemain yang beraksi dengan pasukan Liga Super Selangor.

Malaysia bakal membuka tirai menentang Ukraine pada 11 Ogos diikuti Brazil (14 Ogos) dan Rusia (16 Ogos) pada perlawanan terakhir Kumpulan B.

Baru berkumpul bersama menjalani latihan pada 25 Julai lepas di Intekma Resort, Bunyamin mengakui tahap keserasian sesama mereka masin belum di tahap memuaskan.

''Kerisauan yang kami belum mampu beraksi bersama itu memang ada selepas melalui beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini.

''Walaupun begitu, saya harap semasa di Shenzhen, kami sudah boleh memahami antara satu sama lain dan tidak bermasalah untuk bermain dalam satu pasukan, " katanya.

Bunyamin dipilih menjadi pembawa bendera Malaysia pada majlis perasmian Universiade 2011 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Ogos ini.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)