'Selangor sedia lepaskan Safiq'

Friday, August 5, 2011
FAS tak pernah berniat halang pemain hijrah kembang bakat: Hamidin


Oleh Ahmad Fiesal Othman

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) tidak pernah berniat menghalang pemainnya untuk berhijrah mengembangkan karier mereka, sebaliknya akan cuba membantu untuk kebaikan pemain itu sendiri dan bola sepak negara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, laporan akhbar mengenai hasrat kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim yang dikatakan mahu berhijrah ke kelab Liga Super (ISL) tetapi tidak dilepaskan FAS bagi memastikan pemain itu fokus terhadap saingan Piala Malaysia dan menunggu sehingga tamat musim adalah kurang tepat.

Katanya, sekiranya benar Safiq mendapat tawaran sah daripada kelab ISL terbabit, FAS bersedia melepaskannya seperti yang mereka lakukan terhadap penyerang sensasi Safee Sali yang berhijrah ke Pelita Jaya FC kerana ia bukan saja menjadikan pemain lebih matang, tetapi juga memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak negara.

“FAS sentiasa sedia berkorban demi kepentingan bola sepak negara, namun dalam kes Safiq, sebenarnya pemain itu belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada kelab Indonesia terbabit,” katanya semalam.

Safiq dikaitkan dengan beberapa kelab utama ISL selepas skuad Harimau Malaya menjuarai kejohanan Piala AFF Suzuki buat kali pertama Disember lalu.

Terbaru, portal berita di Indonesia mengaitkannya dengan kelab Persib Bandung dan Persija Jakarta sejak beberapa minggu lalu tetapi Hamidin yang juga pengurus pasukan Selangor berkata, ia hanya cakap-cakap mulut dan belum ada sebarang hitam putih.

“Safiq ada bertemu saya dan memberitahu tawaran kelab Indonesia itu selain menyatakan hasratnya mahu berpindah tetapi tiada tawaran rasmi setakat ini.

“Buat masa ini, dia (Safiq) masih pemain Selangor dan dilayan sama seperti pemain lain,” katanya.


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)