Rangers, Dynamo jadi mangsa penyingkiran awal

Friday, August 5, 2011

PARIS - Gergasi bola sepak Scotland, Rangers dan gergasi Ukraine, Dynamo Kiev merupakan nama besar yang menjadi mangsa penyingkiran pada pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Eropah, semalam.

Rangers gagal bangkit daripada kekalahan 0-1 pada perlawanan pertama di gelanggang sendiri minggu lalu, apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang Malmo di Sweden, sekali gus tersingkir menerusi agregat 2-1. Malah, memburukkan lagi keadaan mereka menamatkan saingan dengan sembilan pemain.

Dynamo Kiev, pasukan yang melangkah ke separuh akhir 1999 langsung tidak mampu bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada kelab Rusia, Rubin Kazan dalam perlawanan peringkat pertama apabila mengalami satu lagi kekalahan 1-2 pada peringkat kedua semalam dan tersingkir menerusi agregat 1-4.

Satu lagi kelab yang merupakan pasukan regular dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, Rosenborg dari Norway turut terkeluar selepas kalah 3-2 di gelanggang lawan kepada wakil Republik Czech, Plzen dan tersingkir dengan agregat 4-2.

Tiga kelab utama itu mengikut jejak gergasi Greece, Panathinaikos yang terlebih dulu ditunjukkan jalan keluar oleh wakil Denmark, Odense dengan kekalahan agregat 5-4, kelmarin.

Rangers pada awalnya tampak bersedia untuk bangkit daripada kekalahan di gelanggang sendiri dengan bermula agresif, malangnya pembuangan pemain, bermula dengan Steven Whittaker yang dilayangkan kad merah pada minit ke-18, menjejaskan perancangan.

Biarpun mengharungi sebahagian besar perlawanan dengan 10 pemain, mereka masih boleh memberi tentangan dengan membuka jaringan menerusi sepakan Nikica Jelavic pada minit ke-24. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)