Fergie simpati nasib Wenger

Wednesday, August 24, 2011

LONDON: Bos Manchester United, Alex Ferguson memuji cara rakan sejawatnya di Arsenal, Arsene Wenger menangani tekanan selepas dikritik berterusan kerana melepaskan dua tonggak utama – Cesc Fabregas dan Samir Nasri – serentak sepanjang jendela perpindahan musim panas ini.

Pengendali dari Scotland itu juga menganggap spekulasi mengatakan Wenger bakal meninggalkan Emirates sebagai mengarut.

“Orang bercakap mengenai Arsenal dan Arsene yang akan meninggalkan kelab,” kata Ferguson. “Tetapi siapa yang dapat menggantikannya?

“Ini situasi yang tidak masuk akal. Kita berada dalam dunia gila. Anda hanya perlu tewas dalam beberapa perlawanan, dan anda bakal dihujani kritikan serta tuntutan mahu anda meninggalkan kelab.”

Ferguson dan Wenger adalah dua seteru ketat Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan pertarungan sengit antara United dan Arsenal, terutama insiden “Pizzagate” pada musim 2004-05.

Ketika itu, rekod tanpa kalah 29 perlawanan Arsenal dimusnahkan United di Old Trafford dengan kemenangan 2-0. Pemain Arsenal dituduh membaling makanan kepada lawannya selepas perlawanan dan Wenger turut menuduh Ruud van Nistelrooy sebagai pembohong.

Namun di sebalik hubungan panas itu, Ferguson tetap hormat pengendali dari Perancis itu dan mahu dia terus berada di Emirates.

“Dia sudah memberikan Arsenal landasan yang tidak pernah terfikir oleh kelab itu sebelum ini,” katanya. “Dia perlu terus berada di sana. Jangan pedulikan kritikan.” – Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)