Perjuangan Arsenal belum berakhir - Wenger

Sunday, August 21, 2011

LONDON - Kalah kepada Liverpool bukan bermakna perjuangan berakhir, kata pengurusnya Arsene Wenger selepas anak-anak buahnya tewas 0-2 dalam Liga Perdana Inggeris.

Jaringan sendiri Aaron Ramsey membolehkan pasukan pelawat mendapat keyakinan untuk mencatat kemenangan dan Arsenal terpaksa beraksi dengan 10 pemain buat kali kedua berturut-turut dalam liga selepas Emmanuel Frimpong menerima kad kuning kedua kerana melakukan terjahan keras ke atas Lucas.

"Kita tidak boleh katakan setakat ini kami bernasib baik. Saya rasa lapan pemain kami tidak beraksi hari ini (kelmarin) dan kami masih mampu memberikan persembahan terbaik.

"Tidak semuanya teruk dan bagus, cuma masih ada perkara yang positif dalam permainan kami," kata Wenger dalam laman web rasmi kelab tersebut, (www.arsenal.com), kelmarin.

Ia menjadi semakin jelas selepas 15 minit perlawanan berlangsung menyaksikan Arsenal bernasib malang apabila pertahanannya, Laurent Koscielny memegang bahagian belakang badannya dan meninggalkan padang dengan penuh kesakitan.

Ketika bola mengenai dada Ramsey hasil rembatan Ignasi Miquel yang ingin mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, pemain Arsenal hanya mampu melihat bola tersebut melantun memasuki ke dalam gawang gol tetapi mereka mempersoalkan sama ada penyerang Liverpool, Luis Suarez berada dalam kedudukan ofsaid sebelum itu.

"Keputusan ini getir buat kami, ia disebabkan oleh kad merah dan jaringan ofsaid," ujar Wenger.

Gervinho, diperintah keluar padang dalam perlawanan pertama minggu lepas menentang Newcastle United bersama Alex Song kerana dikatakan memulakan pergaduhan dalam perlawanan tersebut.

Selain itu terdapat beberapa pemain tengah mengalami kecederaan manakala Cesc Fabregas pula telah berhijrah ke Barcelona.

Arsenal akan beraksi di pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Udinese, Rabu ini sebelum berkunjung ke Manchester menentang juara bertahan liga pada 28 Ogos ini.

Wenger perlu mempersiapkan pemainnya sebaik mungkin selepas mereka diejek menentang Liverpool, kelmarin. - REUTERS


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)