Bukan satu kebetulan apabila semua orang berhijrah ke City: Wenger

Wednesday, August 24, 2011
'Semua kerana wang'


LONDON: Pengendali Arsenal, Arsene Wenger mengakui dia tidak pernah terfikir akan kehilangan Samir Nasri dan Cesc Fabregas serentak, tetapi percaya faktor ‘psikologi’ memainkan peranan dalam memaksanya melepaskan dua pemain itu.

Nasri yang meninggalkan Emirates untuk menyertai kem Etihad bersama Manchester City selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan harga 23 juta pound (RM113 juta) buat pemain tengah Perancis itu, bakal mengikut jejak bekas rakan sepasukan, Gael Clichy.

Wenger mengakui Roberto Mancini berjaya dalam usahanya memancing semua pemain terbaik Liga Perdana Inggeris, apatah lagi disokong dana berterusan pemilik kelab berkenaan.


“Saya seorang yang realistik, jadi saya tidak suka berangan-angan,” kata Wenger. “Ia sebahagian daripada kehidupan moden seorang pemain bola sepak profesional. Bukan satu kebetulan apabila semua orang berhijrah ke Manchester City.

“Peraturan bola sepak memang begini. Seseorang pemain boleh mencecah harga jutaan ringgit hari ini dan tidak bernilai sesen pun dalam tempoh enam bulan, kelihatan seperti tidak logik tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan.

“Akan tiba harinya apabila anda terpaksa membuat keputusan berdasarkan faktor psikologi dan kewangan.”

Wenger juga sedar era kesetiaan pemain pada sesebuah kelab sudah berakhir, terutama apabila ada kelab yang mampu menawarkan gaji lebih lumayan.

“Kami tidak mahu kehilangan Fabregas, tetapi kami dipaksa berada dalam situasi yang tidak kami ingini,” kata pengendali Perancis itu. “Situasi Nasri pula ialah dia tidak mahu melanjutkan kontraknya kerana ada tawaran lebih lumayan menanti di tempat lain.”

Nasri, 24, sempat bersama Arsenal untuk tempoh tiga tahun. Dia dipancing City ketika kontraknya masih berbaki setahun dan menjadi tonggak kedua Gunners melangkah keluar musim panas ini selepas Fabregas.

Penampilan terakhirnya ialah ketika tewas 2-0 di tangan Liverpool Sabtu lalu dan Nasri tidak diturunkan menentang Udinese untuk kelayakan Liga Juara-Juara. – Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)