Jangan turun Nasri: Mancini

Tuesday, August 23, 2011
 
BOLTON: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memberi amaran kepada Arsene Wenger dia mungkin tidak membeli Samir Nasri jika Arsenal menurunkan pemain tengah Perancis itu dalam perlawanan Liga Juara-Juara, esok.

Mancini berminat untuk membawa Nasri ke Eastlands dengan harga 25 juta pound (RM122.5 juta) sebelum jendela perpindahan berakhir 31 Ogos ini tetapi rundingan itu berjalan lebih lama daripada jangkaan kerana ejen dilaporkan masih belum bersetuju dengan potongan untuk mereka.

Bos Arsenal, Wenger mengejutkan apabila menurunkan Nasri ketika kekalahan kepada Liverpool minggu lalu dan itu meningkatkan kemungkinan dia diturunkan apabila berdepan Udinese esok — yang akan membuatkan dia tidak layak mewakili City dalam Liga Juara.

Gunners yang kini bergelut dengan prestasi, hanya mempunyai kelebihan 1-0 daripada perlawanan pertama dan Wenger perlukan semua pemain berpengalaman dalam skuadnya tetapi Mancini memberi bayangan membatalkan langkah pembelian itu andai Nasri diturunkan.

“Saya berharap kami sempat memiliki Samir Nasri dalam tempoh beberapa hari,” kata Mancini.

“Jika dia bermain dalam Liga Juara untuk Arsenal, ia akan menimbulkan masalah. Saya tidak pasti akan membelinya tetapi harap-harap kami akan membuat keputusan dalam tempoh 24 jam akan datang.

“Kami masih mempunyai 10 hari. Kami perlukan beberapa pemain tertentu jika mahu melengkapkan pasukan ini. Saya harap dia (Nasri) bukanlah pemain terakhir yang menyertai kami.”

Skuad Mancini membuktikan mereka masih mampu menang tanpa sentuhan Nasri apabila gol daripada David Silva, Gareth Barry dan Edin Dzeko memastikan kemenangan 3-2 ke atas Bolton di Stadium Reebok kelmarin dan melonjakkan City di tangga teratas liga.

Selepas menang selesa ke atas Swansea pada minggu pertama, City bagaimanapun dipaksa mengerah tenaga untuk menangani cabaran Bolton pada peringkat awal.

“Kami perlu bermain dengan lebih tumpuan. Kami tidak boleh melepaskan gol mudah dan kami perlu fokus kepada perkara ini jika mahu menjadi pasukan yang bagus,” kata Mancini. – AFP


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)