Barcelona, Real Madrid pasukan bergaji lumayan

Thursday, April 21, 2011
LONDON - Dua gergasi kelab bola sepak Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid telah memintas pasukan bola lisut, New York Yankees sebagai pasukan yang membayar gaji tertinggi dalam sukan, menurut satu kajian di Britain.

Laporan kajian menunjukkan bahawa purata gaji yang dibayar kepada seseorang pemain untuk musim 2009-10 di Barcelona ialah AS$7.9 juta (RM23.7 juta), sementara Real Madrid (AS$7.4 juta) hanya AS$500,000 kurang daripada Barca.


Yankees menanggung purata bayaran gaji sebanyak AS$6.8 juta musim ini.

Pasukan Major League Baseball (MLB) itu mendahului senarai yang dihimpun oleh sportingintelligence.com dan ia pernah disiarkan ESPN.

Dua pasukan bola keranjang NBA iaitu Los Angeles Lakers dan Orlando Magic menghuni tangga keempat dan kelima.

Chelsea, Manchester City, Manchester United, Liverpool dan Arsenal turut tergolong dalam 30 pasukan bergaji tinggi, sekali gus meletakkan Liga Perdana Inggeris sebagai liga bola sepak terkaya dunia.

Senarai 30 pasukan itu juga menampilkan 10 pasukan NBA dan lapan pasukan MLB.

Laporan kajian tersebut melihat kepada kepada purata bayaran gaji pasukan utama dalam 14 liga utama sukan dunia, termasuk Liga Bola Sepak Australia (ragbi) dan Liga Perdana India (kriket).

"Umum mengetahui selama ini bola keranjang dan bola lisut Amerika merupakan sukan paling lumayan tapi peningkatan bayaran gaji di kalangan kelab elit bola sepak Eropah berterusan, merapatkan jurang," kata pengarang laporan itu, Nick Harris, - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)