UEFA minta maaf harga tiket final terlalu mahal

Thursday, April 21, 2011

LONDON: Presiden UEFA, Michel Platini meminta maaf kelmarin kerana harga tiket final Liga Juara-Juara yang terlalu mahal dan mendakwa ia dijual lebih 10 kali ganda di pasaran gelap.

Harga tiket untuk perlawanan di Stadium Wembley pada 28 Mei itu, naik dua kali ganda daripada harga final dua tahun lalu buat sebahagian penyokong.


“Ia adalah satu kesilapan, ia tidak baik,” kata Platini di London untuk penyerahan trofi Liga Juara-Juara. “Tetapi bukan mudah untuk menetapkan harga tiket final Liga Juara-Juara.”

Harga tiket dijual 90 pound (RM446) pada 2009 naik kepada 175 pound (RM868) pada 2011. Harga tiket tahun lalu yang menyaksikan Inter Milan menumpaskan Bayern Munich ialah 155 pound (RM768).

Harga tiket 140 pound (RM694) pada 2009 meningkat sekitar 85 peratus menjadi 260 pound (RM1,289) pada 2011.

Peminat yang membeli tiket yang dijual di pasaran Eropah juga perlu membayar yuran pentadbiran sebanyak 31 pound (RM153).

Bagaimanapun Platini berkata walaupun UEFA menjual tiket dengan harga rendah tetapi ulat tiket di England pasti akan menjualnya dengan harga tinggi untuk meraih keuntungan. - AP


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)