Peluang Gunners hampiri United

Sunday, April 17, 2011
LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menjelaskan dia tidak bersedia untuk bertolak ansur dengan falsafah bola sepak ketika ini apabila kelab itu dimiliki oleh hartawan Amerika, Stan Kroenke.

Falsafah tersebut iaitu 'menaruh kepercayaan kepada pemain muda, mahir dari segi teknikal malah kurang mahal', bakal menerima ujian paling getir musim ini apabila Liverpool menjadi pelawat ke Stadium Emirates.

Arsenal mampu mengurangkan kelebihan Manchester United di tangga teratas liga kepada empat mata jika menang, namun sekiranya mereka kalah, peluang kejuaraan mungkin berakhir.


Wenger berkata, dia mahu meneruskan matlamat yang diburu lebih sedekad lalu dan sudah pun membincangkan perkara itu dengan Kroenke yang akan menyaksikan perlawanan, hari ini.

"Dari segi soal bola sepak, kami akan terus bertumpu kepada cara bola sepak yang kami mahu mainkan dan membangunkan pemain kami.

"Kami memiliki sebuah pasukan yang berusia lebih kurang 23 tahun yang berada pada kedudukan kuat dalam liga ini.

"Kami memiliki falsafah pasti bola sepak dan kami akan terus membangunkannya dan bagi bermain lebih baik.

"Kami akan terus mengendalikan kelab ini seperti ia pernah dijalankan sehingga kini, bermakna hidup dengan sumber kami, menghasilkan sumber kami dan membangunkan pasukan bola sepak kami," kata Wenger.

Liverpool pula semakin menyerlah sejak Kenny Dalglish menggantikan Roy Hodgson dan menggunakan wang daripada £50 juta (RM246.81 juta) jualan Fernando Torres bagi membawa masuk penyerang England, Andy Carroll dari Newcastle dan penyerang Uruguay, Luiz Suarez pada Januari.

"Liverpool memiliki kuasa serangan yang bagus dengan Carroll dan Suarez. Kami juga sebuah pasukan yang menyerang, jadi ia menjanjikan satu perlawanan yang menarik," kata Wenger.

Kemenangan di Anfield, Isnin lalu ke atas Manchester City merupakan kejayaan terbaru Liverpool di bawah Dalglish dan mereka kini enam mata di belakang City yang menduduki tempat keempat.

"Ia satu perlawanan yang hebat buat kami. Beberapa perlawanan lalu, kami benar-benar menikmati suasana itu.

"Anda boleh lihat senyuman pada wajah dan itu amat penting. (Hari ini) bakal menjadi satu perlawanan yang besar, satu perlawanan amat penting bagi kami.

"Kami dalam pemburuan bagi kedudukan terbaik yang mampu kami capai dalam kedudukan liga pada akhir musim ini,'' kata pemain pertahanan Martin Skrtel.- AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)