Gunners belum mahu mengalah saingi kejuaraan

Monday, April 18, 2011

LONDON - Arsene Wenger mengarahkan para pemainnya supaya beraksi bermati-matian sehingga berakhir saingan Liga Perdana musim ini dalam usaha Gunners merangkul kejuaraan setelah rentak mereka terencat akibat seri 1-1 menentang Liverpool kelmarin.

Skuad Wenger terlepas peluang untuk memperoleh mata penuh apabila Dirk Kuyt menjaringkan gol penyamaan buat Liverpool melalui sepakan penalti di Stadium Emirates.


Arsenal terlebih dahulu dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh penyerang Robin van Persie pada masa tambahan babak kedua.

Keputusan itu membuatkan Arsenal memperoleh 63 mata untuk berada di tangga kedua, kurang tiga mata di belakang pendahulu, Manchester United.

"Kami perlu berikan segalan yang termampu sehingga tamat perlawanan musim ini dan selepas itu kita lihat sama ada ini adalah tahun bagi kami atau sebaliknya.

"Ini adalah mengenai kami yang perlu mendapatkan kemenangan. Ketika ini kami telah melalui 15 perlawanan tanpa kalah bagaimanapun itu tidak cukup buat kami malah pemain juga kecewa.

"Kami perlu meneruskan perjalanan ini kerana pemain juga mempunyai cita-cita untuk melakukan yang terbaik dengan kemampuan yang ada,'' kata Wenger.

Pada perlawanan tersebut, Wenger berang terhadap pengadil perlawanan, Andre Marriner yang memberikan sepakan penalti ketika 11 minit ke masa penamat yang diperolehi selepas Emmanuel Eboue dilihat menolak pemain Liverpool, Lucas Leiva di dalam kotak penalti.


"Sepatutnya ia bukan penalti kerana Lucas berhenti di hadapan Eboue dan ketika itu juga sepatutnya masa telah tamat.

"Saya juga telah memberitahu pengurus Liverpool Kenny Dalglish bahawa itu bukanlah penalti malah anda sendiri boleh memeriksa melalui ulang tayang dalam televisyen,'' katanya.

Penalti Arsenal diperolehi selepas Martin Skrtel mengasari Cesc Fabregas di dalam kotak penalti.

Dalam pada itu, Dalglish berkata, keputusan seri itu mampu menjadi pendorong yang baik buat pasukannya untuk menghadapi perlawanan selepas ini.

"Pada pengamatan saya, kelab ini masih lagi yang terbaik dalam kelab liga musim ini. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)