Ledakan Ronaldo selamatkan maruah Real

Monday, April 18, 2011

MADRID - Cristiano Ronaldo menyelamatkan maruah Real Madrid menerusi sepakan penalti, semalam, selepas Lionel Messi turut meledakkan jaringan penalti untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1 yang meletakkan kelab Catalan itu semakin hampir menjuarai gelaran Liga Sepanyol.


Jaringan Ronaldo menafikan usaha Barca untuk menamatkan saingan memburu gelaran antara kedua-dua gergasi Sepanyol itu yang bertemu pada permainan pertama daripada empat perlawanan clasico dalam tempoh tiga minggu.

Messi dan Ronaldo meledakkan gol ke-30 mereka dalam aksi liga musim ini.

Barcelona masih mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu selepas pertarungan di Santiago Bernabeu yang mana pasukan pelawat itu turut memburu gelaran ketiga berturut-turut dengan kelebihan lapan mata di hadapan Real.

Messi menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-53 menerusi sepakan penalti yang juga menyaksikan Real terpaksa bermain 10 orang apabila pemain pertahanan tengah mereka, Raul Albiol diperintah keluar padang sebelum Real memperoleh penyamaan minit ke-82 menerusi Ronaldo.

Seri itu turut menamatkan rekod lima kemenangan Barcelona ke atas lawan mereka dan juga rekod 100 peratus jurulatih, Pep Guardiola.

"Seri di Bernabeu bagus dan saya gembira cara kami bermain, walaupun mungkin kami mampu melakukan lebih baik dengan keputusan 1-0.

"Saya tidak fikir kami telah muncul juara liga kerana kami masih perlu beraksi menentang pasukan yang sedang bergelut menentukan nasib," kata Guardiola.

Dalam pada itu, bos Real, Jose Mourinho pernah menyaksikan Barcelona membelasah pasukannya 5-0 di Camp Nou dan masih menanti kemenangan pertamanya, tetapi, kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi, Rabu ini, pada perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol.

Selepas itu, kedua-dua musuh lama itu akan menghitung pertemuan dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara pula.

"Ia merupakan satu perkara yang mustahil untuk bermain dengan 10 pemain bagi tempoh yang panjang menentang pasukan yang tanpa diragui merupakan kelab terbaik di dunia," kata Mourinho. - AFP



(Sumber: http://www.utusan.com.my/)