Mourinho pulau wartawan

Monday, April 18, 2011
Enggan jawab soalan media berpangkalan di Madrid

MADRID: Hubungan bermasalah Jose Mourinho dengan media yang berpangkalan di Madrid berterusan kelmarin apabila dia enggan menjawab sebarang soalan selepas Real yang beraksi dengan 10 pemain seri 1-1 dengan pendahulu La Liga, Barcelona.

Tiada seorangpun pasti sama ada Mourinho akan kembali bercakap dengan wartawan di Bernabeu selepas perlawanan itu berikutan keputusannya untuk tidak bercakap dan membenarkan pembantunya, Aitor Karanka mengendalikan sidang akhbar sebelum perlawanan kelmarin.

Tingkah laku Mourinho yang dilihat sebagai satu usahanya meredakan suasana ketegangan sebelum perlawanan “clasico” itu menyebabkan 30 wartawan keluar meninggalkan sidang akhbar itu sebagai tanda protes.

Namun, selepas penalti yang disempurnakan oleh Cristiano Ronaldo pada lapan minit terakhir perlawanan yang memadamkan gol penalti awal oleh Lionel Messi selepas Raul Albiol dibuang padang, Mourinho berhenti daripada membisu untuk membalas dengan keras terhadap satu soalan oleh wartawan sebuah akhbar sukan harian tempatan.

“Adakah anda pengarah AS?,” Mourinho berkata. “Jika tidak, saya tidak boleh memberi jawapan kerana mengikut falsafah anda, jika anda tidak mahu bercakap dengan pembantu saya, saya hanya akan bercakap kepada pengarah.”

Soalan berikutnya juga berlangsung dengan cara sama. “Saya tidak boleh jawab,” katanya sekali lagi. “Punto Pelota tidak mempunyai penghormatan untuk bercakap dengan seseorang yang berhak mendapat penghormatan. Seseorang yang pernah memenangi tiga piala Eropah dengan kelab ini, yang mempunyai semua kredibiliti menjadi wakil saya dalam sidang akhbar.”

Jurulatih dari Portugal itu kemudian menjawab soalan yang dikemukakan oleh wartawan antarabangsa yang berpangkalan di Barcelona, sambil terus membisu dengan soalan lain yang dikemukakan oleh media Madrid. - Reuters 


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)