Milan hampir kuasai persada liga

Monday, April 18, 2011

MILAN: AC Milan semakin hampir untuk menggenggam kejuaraan pertama Serie A dalam tempoh tujuh tahun selepas pencabar terdekat Napoli tewas 2-1 di halaman sendiri kepada Udinese, kelmarin.

Gol Udinese pada babak kedua permainan oleh Gokhan Inler dan pemain Jerman Denis membuatkan pasukan tangga kedua, Napoli, terpaksa mengejar kejuaraan scudetto pertama sejak era Diego Maradona di kelab itu pada 1990 dengan enam mata di belakang pendahulu, Milan dengan baki lima perlawanan.


Penyerang Napoli, Edinson Cavani (gambar), penjaring kedua terbanyak kejohanan dengan 25 gol, gagal menyempurnakan penalti dalam perlawanan yang dicemari aksi panas baran walaupun hanya pemain Udinese, Maurizio Domizzi dibuang padang.

Milan yang mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sampdoria Sabtu lalu, memiliki 71 mata daripada 33 perlawanan dengan Napoli kekal dengan 65 dan Inter Milan yang memenangi kejuaraan sejak lima musim lalu, mengumpul 63 mata selepas kekalahan 2-0 mereka di Parma Sabtu lalu.

Juventus pula berdepan kegagalan dua tahun berturut-turut layak ke saingan Liga Juara-Juara selepas mereka diikat 0-0 oleh Fiorentina, manakala pencabar mereka Lazio membelasah Catania 4-1.

Keputusan itu meletakkan Juventus lapan mata ketinggalan kepada Lazio yang kini menduduki tempat keempat yang menjadi slot terakhir untuk kelayakan ke saingan Liga Juara-Juara musim depan dengan mengumpul 60 mata. - Reuters


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)