City menaruh minat terhadap Modric

Saturday, June 11, 2011

LONDON – Manchester City bakal mencetuskan perebutan tiga penjuru ke atas Luka Modric apabila menyatakan minat mereka untuk medapatkan khidmat perancang Tottenham Hotspurs itu.

Roberto Mancini menganggap pemain kreatif dan berbakat dari Croatia itu mampu mengetuai cabaran City dalam saingan Liga Perdana England serta Liga Juara-Juara musim depan, malah bersedia mengemukakan tawaran sekitar £30 juta (RM147 juta)

Begitupun, pengurus dari Itali itu tidak akan berdepan laluan mudah untuk mendapatkan Modric kerana Chelsea dan Manchester United juga sedang dalam usaha memancing pemain berusia 25 tahun itu.

Pemilik Chelsea, Roman Abramovich juga meminati Modric dan sudah pasti akan menyaingi bidaan City yang bakal menguntungkan Spurs.

Pengurus United, Alex Ferguson pula bimbang dia tidak mampu mengalahkan bidaan City yang sedia menawarkan gaji tiga kali ganda daripada pendapatan £55,000 (RM269,422) seminggu yang diperoleh pemain itu di White Hart Lane.

Harry Redknapp pula menganggap Modric seorang pemain yang sukar dicari ganti dan pengerusi Spurs, Daniel Levy menegaskan tidak akan menjual pemain bintangnya itu pada musim perpindahan ini.

Modric berkata: “Sekiranya ada sebarang tawaran yang bagus untuk Tottenham dan juga diri saya, maka perpindahan mungkin akan berlaku.”

Sementara itu, Chelsea dan City turut bersaing dalam perebutan ke atas perancang Argentina, Javier Pastore, 21, dari kelab Palermo.

Presiden Palermo, Maurizio Zamparini berkata, dia sudah berputus asa untuk memujuk bintang berharga £40 juta (RM196 juta) itu agar terus kekal di Palermo. – Agensi


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)