Nadi Harimau Malaya

Saturday, June 11, 2011
Oleh Syed Riduan Ahmad


Kelantan, Terengganu lahir pemain jadi tonggak kebangkitan skuad kebangsaan

FINAL Piala FA musim ini menampilkan dua gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu dan kesimpulan mudah daripada pertemuan itu adalah kuasa bola sepak negara kini beralih merentasi Semenanjung.

Dengan kedua-dua pasukan mempunyai pemain yang turut mengisi tonggak kesebelasan utama skuad kebangsaan, pertembungan final itu membuka lembaran baru bola sepak negara yang kembali mengorak langkah selepas sedekad hilang arah.

Siapapun juara antara Kelantan dan Terengganu, yang pasti dua misi penting skuad Olimpik dan Piala Dunia kebangsaan bulan ini mendapat tempiasnya dengan kehadiran pemain daripada kedua-dua pasukan.

Kelantan mempertaruhkan penyerang berbisa dan penjaring terbanyak Liga Super, Norshahrul Idlan Talaha yang sejak Piala AFF Suzuki Disember lalu, menjadi harapan negara manakala Terengganu dipacu pemain muda berbakat, Abdul Hadi Yahya yang kian mendapat perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal.

Kelibat dua penyerang handalan ini pastinya menjadi taruhan utama Rajagobal untuk membawa skuad Piala Dunia memburu kemenangan ke atas Taiwan, 29 Jun dan 3 Julai ini selepas mereka disenaraikan untuk perlawanan ujian bertemu Myanmar di Kota Bharu, 18 Jun ini.

Di kubu terakhir, hadir dua susuk kental dan lincah - Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) dan Sharbinee Allawee (Terengganu) yang menjadi kunci kepada keputusan pertembungan final antara dua gergasi Pantai Timur itu.
Fahmi dan Sharbinee menjadi pilihan utama Rajagobal di peringkat antarabangsa dengan penjaga gol Kelantan itu juga menjadi tonggak di kubu terakhir skuad Olimpik pimpinan Ong Kim Swee, selain pertahanan Terengganu, Zubir Azmi bagi pertemuan pusingan kelayakan Olimpik, 19 dan 23 Jun ini.

Dengan 10 pemain kebangsaan (enam dari Kelantan dan empat Terengganu) berada di atas padang Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi dan apa jua keputusannya, ia pasti memihak kepada skuad kebangsaan.

Melihatkan kehadiran lebih 85,000 penyokong kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, ribuan penyokong setia ini menjadi tunjang kepada kebangkitan bola sepak Malaysia.

Syabas Kelantan dan Terengganu.


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)