Phil Jones sertai Man. United

Friday, June 10, 2011
LONDON - Alex Ferguson menjadikan jumlah perbelanjaan pemain pada musim panas ini kepada 35 juta pound (RM173 juta) apabila mendapatkan khidmat pemain Blackburn, Phil Jones.

Bos Manchester United itu tidak akan berhenti setakat itu sahaja dalam usaha 'meremajakan' skuadnya.

Jones, 19, menjalani pemeriksaan perubatan di Carrington kelmarin, selepas bersetuju dengan kontrak lima tahun dengan gaji 40,000 pound seminggu.

Fergie menyambar pemain pertahanan itu daripada bidaan Liverpool dengan harga 16.5 juta pound (RM81.5 juta).

Ferguson telah pun berbelanja 18.3 juta pound (RM90.4 juta) untuk pemain Atletico Madrid iaitu David De Gea, 20, dan hampir melengkapkan perpindahan 20 juta pound (RM98.8 juta) untuk pemain Aston Villa, Ashley Young.

Kini Fergie mempertimbangkan untuk menyertai saingan bagi mendapatkan pemain Udinese yang diletakkan harga 30 juta pound (RM148.2 juta) Alexis Sanchez, 22, pemain yang turut menjadi sasaran Manchester City.

Kelmarin, Jones, yang menaiki jet untuk menyertai skuad Bawah 21 England di Denmark, adalah jelas merupakan sebahagian daripada perancangan masa depan Ferguson untuk memberi suntikan pemain muda dalam skuad utama.

Sementara itu, Wayne Rooney dalam laman twitter memuji penyertaan Jones bersama United.

"Dia merupakan antara pemain pertahanan kental yang pernah saya hadapi musim lalu," katanya. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my)