Capello sengaja tempah bencana

Monday, August 8, 2011

LONDON - Jurulatih England, Fabio Capello bakal berdepan masalah dengan pengurus Arsenal, Arsene Wenger seandainya beliau tetap memilih untuk menurunkan Jack Wilshere pada aksi persahabatan menentang Belanda awal pagi Khamis ini.

Wilshere turut berada dalam senarai 25 pemain dipilih Capello bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa itu tatkala Wenger mahu Capello tidak menurunkannya.

Pemain tengah itu tidak menyertai skuad Arsenal ketika bertemu Benfica di Lisbon pada Sabtu lalu selepas me- ngalami kecederaan buku lali.

"England boleh menyenaraikannya dalam skuad tetapi dia tidak boleh diturunkan. Saya akan berasa tidak senang jika mendapati dia diturunkan oleh Capello," kata Wenger.

November lalu, Capello dikritik hebat oleh Liverpool setelah beliau tetap menurunkan Steven Gerrard ketika bertemu Perancis sehingga kapten Liverpool itu mendapat kecederaan berulang.

Menjelang aksi awal pagi Khamis ini, Capello sekali lagi berhajat untuk menurunkan barisan terkuat bagi menghadapi Belanda sebagai persiapan akhir sebelum pertembungan Kelayakan Euro 2012 dengan Bulgaria, Wales dan Montenegro pada September dan Oktober.

Kecederaan memaksa Gerrard dan seorang lagi pemain Arsenal, Theo Walcott diketepikan, manakala penyerang Aston Villa, Darren Bent meng- alami kecederaan bahu.

Ia membuka peluang buat penyerang Manchester United, Danny Welbeck mencuri tempat. - Agensi


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)