Selamat datang Alex Oxlade-Chamberlain

Tuesday, August 9, 2011


LONDON - Bintang baru Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain percaya Arsene Wenger adalah orang yang boleh membantunya merealisasikan impian menyarung jersi skuad England.

Pemain sayap yang berharga 15 juta pound (RM74 juta) itu melengkapkan perpindahan ke Arsenal dari Southampton semalam selepas menandatangani kontrak jangka panjang di Emirates.

Oxlade-Chamberlain akan genap 18 tahun minggu depan, menjaringkan 10 gol dalam 41 perlawanan untuk membantu Southampton layak ke Liga Kejuaraan dan juga disenarai pendek untuk Pasukan Terbaik PFA bagi Liga Satu.

Kini, dia mahu mengikuti jejak langkah bekas pemain skuad Saints seperti Gareth Bale dan Theo Walcott yang beraksi pada peringkat antarabangsa.

"Bermain untuk Arsenal adalah impian saya. Saya sedar banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap rakan sepasukan di sini.

"Namun ia sesuatu yang membuatkan saya teruja kerana selama ini saya hanya dapat menonton mereka beraksi, tetapi kini saya bermain bersama mereka.

"Saya harus bekerja keras dan diharapkan persembahan cemerlang dapat memberikan impak untuk saya menyertai pasukan kebangsaan England kelak," ujarnya.

Oxlade-Chamberlain yang beraksi untuk skuad Bawah 18, Bawah 19 dan Bawah 21 England menambah: "Semua orang tahu Wenger ialah guru yang bagus.

"Saya berharap dapat belajar daripadanya seperti mana pemain-pemain lain. Lihatlah Theo, perjalanan yang diharungi sama seperti saya, dari Southampton ke Arsenal. Dia kini bermain untuk England, begitu menakjubkan.

"Seorang lagi ialah Jack Wilshere. Dia baru berusia 19 tahun, tetapi sudah mendapat kepercayaan Fabio Capello dalam pasukan kebangsaan. Saya mengikuti perkembangan Jack untuk beberapa tahun ini dan dia telah mencipta pencapaian hebat di bawah bimbingan Wenger.

"Saya berharap untuk menjadi seperti mereka berdua," jelas anak kepada bekas pemain antarabangsa England, Mark Chamberlain.

Kehadiran Oxlade-Chamberlain dianggap sebagai antara pemain remaja paling berbakat di England itu mengukir senyuman pada wajah Wenger.

"Kami gembira Alex membuat keputusan menyertai kami. Dia merupakan seorang pemain muda berbakat yang akan menambah kreativiti dan kualiti pada bahagian serangan.

"Alex seorang pemain serbaguna," kata Wenger. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)