Puasa tidak jejas skuad kebangsaan

Tuesday, August 9, 2011

KUALA LUMPUR - Sungguhpun kecundang dalam dua perlawanan persahabatan dengan Jepun, namun jurulatih hoki kebangsaan, Tai Beng Hai tetap memuji persembahan dipamerkan anak buahnya yang beraksi dalam berpuasa apabila tewas tipis 1-2 dalam kedua-dua perlawanan itu.

Malah, Beng Hai juga yakin skuad hoki kebangsaan mampu memberikan persembahan lebih baik hari ini dalam perlawanan ketiga dengan skuad Blue Samurai itu yang dijadual berlangsung sebelum waktu berbuka.

Katanya, dalam dua perlawanan yang telah dilalui Ahad dan kelmarin pemain semakin menunjukkan peningkatan positif terutama di bahagian pertahanan.

"Kita dapat lihat pemain mampu memberikan saingan biarpun Jepun bermain dengan corak permainan pantas.

"Pemain kita juga sudah mula mendapat rentak selepas dua perlawanan yang telah dilalui dan saya harap untuk perlawanan esok (hari ini) mereka dapat mempamer peningkatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Perlawanan persahabatan dengan Jepun lebih bertujuan untuk membolehkan pihak Institut Sukan Negara (ISN) menjalankan kajian berhubung kecergasan pemain ketika bermain dalam bulan Ramadhan selain sebagai persediaan untuk menghadapi Cabaran Juara pada Disember depan di Afrika Selatan dan kelayakan Olimpik tahun depan.

Sementara itu, Beng Hai berkata, keupayaan penyudah dalam pasukan kebangsaan masih boleh dipertajamkan lagi melalui baki tiga lagi perlawanan persahabatan dengan skuad negara matahari terbit itu.

"Penyudah tetap baik dan masih boleh diperkemaskan lagi cuma ketika ini kita masih belum dapat membaca strategi yang diguna pakai Jepun.

"Saya dapat rasakan mereka juga mungkin sama seperti kita yang mahu menggunakan perlawanan ini sebagai latihan semata," jelas Beng Hai.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)