Pertembungan dua gergasi

Tuesday, August 9, 2011

BERNE: Sekalipun kelab Eropah mengkritik perlawanan persahabatan antarabangsa pada Ogos sebagai membazirkan masa, masih banyak yang boleh disaksikan pada pertembungan kali pertama antara Jerman dan Brazil dalam tempoh enam tahun esok di depan 54,000 penonton yang bakal memenuhi stadium di Stuttgart.

Kedua-dua jurulatih, Joachim Loew dan Mano Menezes teruja untuk menentang pasukan kuat dalam satu daripada 50 perlawanan persahabatan di seluruh dunia pada hari pertama tarikh antarabangsa di musim baru yang ingin dihapuskan Persatuan Kelab-kelab Eropah (ECA).

Sementara itu, bekas jurulatih Jerman, Juergen Klinsmann melakukan penampilan sulung mengendalikan Amerika Syarikat, kurang dua minggu selepas dilantik.

Pasukannya akan bermula dengan cubaan membalas dendam kekalahan 2-4 pada final Piala Emas Concacaf di tangan Mexico Jun lalu yang menjurus kepada pemecatan jurulatih Bob Bradley.

Perlawanan berprofil tinggi lain membabitkan Itali-Sepanyol di Bari, England-Belanda di Wembley dan Jepun-Korea Selatan di Sapporo, semuanya berlangsung esok.

Satu daripada permusuhan terbesar dilangsungkan di kelab divisyen dua Inggeris, Watford hari ini apabila Ghana menentang Nigeria.

Ghana memenangi tiga pertembungan terakhir menentang Nigeria, menyingkirkan mereka pada Piala Negara-Negara Afrika 2008 dan 2010 selain mengalahkan lawan 4-1 pada perlawanan persahabatan di London empat tahun lalu. Super Eagles menang lima pertemuan sebelum itu.

Sementara itu, Perancis menanti kehadiran Chile, pasukan paling menarik Amerika Selatan dan akan cuba meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada 11 perlawanan.

Tahun lalu, ECA, mewakili 197 kelab besar Eropah, membantah tarikh perlawanan persahabatan pada Ogos yang diadakan sebelum beberapa liga domestik bermula.

Presiden ECA, Karl-Heinz Rummenigge menganggap perlawanan itu sebagai tidak berguna dan berkata, kalendar antarabangsa perlu dirombak dengan mendapat maklum balas daripada kelab-kelab Eropah.

Sejak itu, hubungan antara ECA dan badan bola sepak dunia Fifa semakin keruh dan dengan Copa America diadakan Julai lalu, kelab tidak gembira kerana terpaksa melepaskan pemain sekali lagi.

Juara Jerman, Borussia Dortmund sudah berang dengan kecederaan dialami penyerang Lucas Barrios pada Copa America dan kini lebih kecewa apabila pemain tengah Shinji Kagawa terpaksa kembali ke Jepun untuk bermain bersama pasukan negaranya. - Reuters


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)