Per Mertesacker sedia sambut minat Arsenal?

Tuesday, August 9, 2011
Pemain pertahanan skuad Jerman tersebut kembali utarakan keinginan bermain dalam Liga Perdana


Oleh Dede Sugita

Arsenal mungkin tidak perlu lagi bersusah-payah untuk berusaha mengaitkan diri bersama Gary Cahill dari Bolton Wanderers, Christopher Samba (Blackburn) atau Phil Jagielka (Everton).

Ketiga-tiga nama tersebut merupakan pemain pertahanan tengah yang sering dikaitkan dengan the Gunners yang berusaha untuk memperbaiki kelemahan barisan belakang mereka, namun usaha Arsenal itu seringkali terbatas kerana keengganan kelab mereka untuk melepaskan pemain mereka.

Pada Isnin, the People menyatakan Per Mertesacker sebagai alternatif yang sedang dipantau oleh pengurus Arsene Wenger.

Berbeza dengan kes Cahill, Samba, dan Jagielka, Werder Bremen yang masih menguasai hak sebagai pemilik Mertesacker kelihatan tidak keberatan untuk melepaskan pemain pertahanan skuad Jerman itu kerana dia telah memasuki tahun terakhir kontraknya di Weserstadion.

Pemain berketinggian 198 cm itu pada bulan lepas pernah menyatakan keinginannya untuk bermain dalam Liga Perdana Inggeris.

Kali ini, Mertesacker kembali mengulangi kenyataan serupa, dan ini sebenarnya mampu menjadi momentum tepat bagi Arsenal untuk membuat tawaran secara rasmi.

“Bagi seorang pemain kebangsaan, adalah perkara yang baik jika dapat memperoleh pengalaman bermain di luar negara,” ucapnya kepada Bild.

“Saya pernah mengatakan bahawa Inggeris telah membuat saya tertarik,” tambahnya.

Untuk mendapat tandatangan Mertesacker, Bremen khabarnya meletakkan harga ‘hanya’ £6 juta.


(http://www.goal.com/)