Wenger pening kepala temui Newcastle

Tuesday, August 9, 2011

PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger pening kepala memikirkan senarai kesebelasan utama bagi menghadapi Newcastle United pada pertembungan pertama Liga Perdana Inggeris di St James Park, Sabtu ini.

Sembilan pemain The Gunners terpaksa direhatkan berikutan kecederaan dan masalah tersebut semakin meruncing selepas tewas 1-2 kepada Benfica ketika beraksi dalam Piala Eusebio di Lisbon, Sabtu lalu.

Robin van Persie, Kieran Gibbs, Thomas Vermaelen, Lauren Koscielny, Abou Diaby, Theo Walcott, Jack Wilshere dan Samir Nasri antara pemain yang tidak tersenarai dalam pertembungan itu termasuk Cesc Fabregas yang masih belum cergas sepenuhnya.

Bagaimanapun penjaga gol, Wojciech Szczesny enggan terlalu memikirkan situasi genting yang dihadapi kelab dalam masa sama mahu segera melupakan kekalahan ketika menentang Benfica.

“Kebanyakan kecederaan dialami pemain hanya kecederaan kecil dan tidak serius. Jadi saya berharap semua pemain yang cedera kembali cergas menjelang perlawanan menentang Newcastle nanti,” katanya.


(Sumber: http://www.sinarharian.com.my/)