Janji Van Persie buat Arsenal

Monday, August 8, 2011

LONDON: Robin van Persie berjanji menjadikan kegagalan Arsenal musim lalu sebagai pengajaran berguna dalam usaha penyerang Belanda itu menamatkan kemarau enam tahun tanpa sebarang piala kelab berkenaan.

Dia yang dikurniakan bakat luar biasa serta semangat juang tinggi di atas padang, seharusnya berada dalam sebuah pasukan yang merangkul piala demi piala saban tahun, tetapi bersama Arsenal, sumbangannya tidak berakhir dengan kejuaraan.

Kini van Persie menjadi satu-satunya pemain kelas dunia yang masih tinggal dalam skuad Arsene Wenger selepas kumpulan pemain yang digelar “halimunan” kerana menjuarai Liga Perdana Inggeris 2004 tanpa sebarang kekalahan, meninggalkan kelab itu seorang demi seorang.

Sepanjang tujuh tahun bersama Arsenal, van Persie hanya boleh berbangga dengan satu pingat - hasil penampilannya sebagai pemain gantian pada final Piala FA 2005 menentang Manchester United.

“Sudah tentu saya mahu memenangi sesuatu, tetapi kemenangan tidak akan muncul begitu saja,” kata van Persie yang baru mencecah 28 tahun awal bulan ini. “Saya hanya sebahagian daripada cerita ini, ia bergantung kepada banyak faktor.”

Apa yang menambah kekesalan van Persie ialah kecederaan dialaminya sepanjang musim lalu sebagai antara faktor yang menyebabkan Arsenal terlepas peluang merangkul sekurang-kurangnya satu daripada empat piala yang begitu hampir dalam genggaman.

Kemusnahan impian Arsenal bermula di Wembley apabila Birmingham bangkit meledak gol kemenangan untuk menjuarai Piala Liga. Beberapa hari kemudian, van Persie dibuang padang ketika bertemu Barcelona pada saingan Liga Juara-Juara di mana barisan Wenger mengalami kekalahan yang sukar dilupakan.

“Robin pemain yang menakjubkan,” kata Wenger. “Dia hanya beraksi dalam 18 perlawanan liga, maka anda dapat bayangkan apa akan jadi jika dia bermain lebih 30 perlawanan, berapa jumlah gol yang mampu dijaringkan.” – AFP


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)