Saya punca Bayern kecundang: Neuer

Monday, August 8, 2011

BERLIN: Penjaga gawang Jerman, Manuel Neuer menerima tanggungjawab sepenuhnya di atas kesilapan babak kedua bersama kelab barunya, Bayern Munich yang memulakan musim baru dengan kejutan selepas tewas 1-0 kepada Moenchengladbach.

Pelawat meraih gol pada kedudukan genting di Arena Allianz, Munich pada minit ke-62 selepas berlaku pertembungan memalukan antara pertahanan Jerman, Boateng dan Neuer – dua pemain yang membabitkan kos lebih 35 juta euro (RM140 juta) kepada gergasi Bavaria itu.

Kedua-dua mereka gagal membaca bola hantaran jauh dan kesempatan itu digunakan sebaiknya penyerang kelahiran Brazil-Belgium, Igor de Camargo untuk menjaringkan gol pada minit ke 62.

“Ia adalah kesilapan saya yang menyebabkan kami kalah,” akui Neuer yang dibeli dengan nilai 22 juta euro (RM88 juta) oleh Bayern daripada seteru, Schalke.

“Saya ke belakang sedikit supaya tidak mengasari dia (de Camargo) dan diberikan kad merah.”

Memburukkan lagi keadaan, Boeteng terkulai layu pada minit ke-76 apabila mengalami ketegangan buku lali namun dijangka dapat membantu Jerman dalam perlawanan persahabatan bertemu Brazil di Stuttgart, esok.

Gladbach yang nyaris tersingkir musim lalu, meraikan kemenangan pertama di Munich selepas 16 tahun. Jurulatih Bayern, Jupp Heynckes berkata, pasukannya terperangkap dengan pertahanan Gladbach yang dianggapnya sangat gigih.

“Mereka membuat sarang labah-labah dan kami membiarkan diri terperangkap,” kata Heynckes yang akan bersemuka dengan Neuer dan Boateng selepas mereka kembali daripada tugasan antarabangsa pertengahan minggu ini. – AFP


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)