Wenger pertahankan falsafah

Sunday, April 17, 2011
LONDON - Arsene Wenger menegaskan dia tidak berhasrat untuk mengubah 'falsafah bola sepak' meskipun kelab itu kini dimiliki ahli perniagaan Amerika Syarikat, Stan Kroenke.

Pengurus Arsenal itu berkata, dia akan terus meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain muda yang berkemahiran tinggi tetapi murah untuk dibeli.

Wenger menyuarakan keyakinan itu menjelang aksi penting menentang Liverpool di Stadium Emirates dalam aksi Liga Perdana England malam ini.

Arsenal mampu mengurangkan jarak mata dengan pendahulu, Manchester United kepada empat mata sekiranya mencatat kejayaan tetapi jika kalah, peluang untuk menjulang gelaran semakin sukar.


Wenger pula berkeras yang dia akan terus menggunakan caranya yang telah dipraktikkan hampir sedekad lalu dan telah membincangkan hal tersebut dengan Kroenke yang akan hadir menyaksikan pertemuan malam ini.

"Dari sudut bola sepak, kami akan terus memberi fokus kepada cara permainan dan pengurusan yang kami mahukan iaitu meningkatkan lagi mutu pemain," kata Wenger.

"Kami ada skuad yang dibarisi pemain berusia purata 23 tahun, di mana pemain ini berjaya membawa kami ke kedudukan yang agak kukuh dalam liga setakat ini.

"Kami ada beberapa falsafah dalam bola sepak kami akan terus mengembangkannya, malah akan memperbaikinya.

"Kami akan terus menguruskan kelab ini seperti apa yang kami lakukan sehingga sekarang iaitu menggunakan setiap pemain yang ada, menghasilkan pemain sendiri dan meningkatkan lagi kelab bola sepak ini."

Liverpool pula telah mempamer kebangkitan sejak Kenny Dalglish menggantikan Roy Hodgson dan menggunakan wang hasil penjualan Fernando Torres untuk membawa penyerang England, Andy Carroll dari Newcastle dan penyerang Uruguay, Luiz Suarez pada Januari lalu.

"Liverpool mempunyai gandingan serangan yang bagus menerusi Carroll dan Suarez. Kami juga mempunyai barisan serangan yang bagus, jadi ia akan menjadi satu pertemuan yang menarik," kata Wenger. - AFP


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)