Penyokong Singapura geruni sorakan Ultras Malaya

Monday, July 25, 2011

KUALA LUMPUR - Biarpun tewas 3-5 kepada Singapura dalam perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia di Stadium Jalan Besar Sabtu lalu, kehadiran lebih 1,000 penyokong negara tetap mencuri tumpuan termasuklah media negara itu.

Portal berita Today Online melaporkan kehadiran sekumpulan penyokong yang dikenali sebagai Ultras Malaya yang agresif dan bersemangat bakal memberi masalah besar, apabila pasukan kendalian Radojko Avramovic bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan timbal balik Khamis ini.

Menerusi tajuk berita Prepare for Ultras, portal itu melaporkan Singapura bakal berhadapan dengan lebih ramai penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang akan memainkan peranan sebagai 'pemain ke-12'.

"Mereka menyanyi sepanjang masa dan sengaja meletakkan bas dengan jarak yang agak jauh dari stadium supaya mereka boleh berjalan dalam kumpulan besar dan menyanyi untuk menyokong Harimau Malaya. Sudah pasti ada ribuan lagi penyokong seperti itu menunggu kehadiran kita di sana

"Malah mereka juga mengibarkan bendera gergasi Malaysia dalam stadium ketika lagu kebangsaan berkumandang dan langsung tidak gentar dengan kehadiran lima jet perjuang yang muncul di ruang udara stadium sebelum perlawanan bermula," katanya seperti dipetik dari portal itu.

Menurutnya, nyanyian "Bukit Jalil Bukit Jalil" yang dinyanyikan kumpulan itu selepas tamat perlawanan juga membuktikan cabaran besar yang bakal dihadapi skuad Singapura bakal di stadium yang boleh memuatkan 90,000 penyokong Khamis ini.

Dalam pada itu, sikap tidak peka Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang tidak mengasingkan kedudukan penyokong kedua negara nyata mendatangkan masalah apabila berlaku provokasi.

Akibatnya, seorang penyokong Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Freedie terjatuh dalam keadaan kelam kabut dan mengalami sesak nafas sebelum dikejarkan ke hospital.

"Pada masa itu, penyokong kedua pasukan mula mengejek antara satu sama lain, dengan tiba-tiba polis datang dan cuba memasuki kawasan penyokong Malaysia menyebabkan berlaku keadaan tolak menolak dan saya terjatuh.

"Selepas itu saya tidak apa yang berlaku. Saya cuma sedar selepas diberi alat bantuan pernafasan di hospital dan tangan kanan retak," katanya kepada Utusan Malaysia selepas tamat perlawanan.

Sejurus tamat perlawanan, penyokong Malaysia turut "ditahan" dalam stadium hampir setengah jam bagi membolehkan penyokong tuan rumah keluar terlebih dahulu.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)