Safee tekad gegar lagi

Monday, July 25, 2011
Peledak negara yakin Harimau Malaya mampu balas dendam


PENYERANG prolifik negara, Safee Sali mengakui perasaannya bercampur baur walaupun dua kali merobek gawang Singapura dalam perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, kelmarin.

"Saya gembira, tetapi pada masa sama sedih kerana dua jaringan saya itu masih gagal membantu skuad negara menewaskan lawan," kata penyerang Pelita Jaya itu.

Safee membuktikan ketajaman berterusan selepas merobek gawang Liverpool dua kali baru-baru ini dan malam kelmarin, sekali lagi menyumbat dua gol untuk Harimau Malaya.

Dia menjaringkan gol pertama seawal permainan berusia 30 saat sebelum menambah satu lagi pada minit ke-70 manakala satu lagi gol negara dijaringkan penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-69.

Begitupun gol lawan yang dijaringkan penyerang sensasi berusia 41 tahun, Aleksander Duric pada minit kelapan dan 80, Qiu Li (m-21), Mustafic Fahruddin (m-44) dan Shi Jiayi (m-45) memaksa skuad bimbingan Datuk K Rajagobal pulang dengan defisit dua gol.

"Kegoyahan benteng sekali lagi terserlah malam ini (malam kelmarin), tetapi kita tidak harus menyalahkan pertahanan 100 peratus kerana mereka sudah bekerja keras untuk menahan serangan lawan," katanya.

Safee bagaimanapun yakin peluang skuad negara masih belum tertutup dan mampu membalas dendam kekalahan itu untuk memastikan impian besar melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia buat julung kali tercapai.

"Saya harap mampu meledak lagi dalam perlawanan kedua nanti," katanya.


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)