Berita bola sepak hiasi muka depan akhbar Singapura

Monday, July 25, 2011

SINGAPURA - Permusuhan di antara Singapura dan Malaysia dalam saingan bola sepak sentiasa menghidupkan satu suasana meriah serta ketegangan tidak kira di kalangan pemain mahu pun penyokong kedua-dua pasukan.

Ternyata kemeriahan itu turut diterjemahkan dalam akhbar-akhbar utama Singapura semalam yang melaporkan tentang aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Jalan Besar di sini malam kelmarin.

Keputusannya, Malaysia tewas 3-5 kepada Singapura sebelum mereka bertemu lagi pada aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis ini.

Hampir semua akhbar tempatan Singapura meletakkan laporan perlawanan malam kelmarin itu sebagai bahan berita di muka depan dan muka belakang akhbar masing-masing.

Akhbar Berita Minggu meletakkan tajuk Kita Menang! di muka hadapan dengan gambar Aleksandar Duric meraikan jaringan kelima Singapura bersama rakan sepasukannya, Qiu Li.

Muka belakang Berita Minggu pula dihiasi dengan tajuk Singa Baham Harimau 5-3, membuktikan betapa terujanya Singapura dengan kemenangan terhadap musuh tradisi, Malaysia.

Akhbar The Sunday Times pula tampil dengan tajuk muka hadapan Five-Star Lions manakala muka belakangnya dengan tajuk Lion Edge Triller.

Sementara akhbar The New Paper on Sunday meletakkan tajuk ringkas Game On! pada muka hadapannya manakala pada halaman sukannya dengan tajuk Can You Believe 5-3?.

Kehangatan laporan media untuk kedua-dua negara ini pasti akan berterusan sehingga aksi kedua pada Khamis ini.

Bagi media Malaysia, biarpun skuad negara kini ketinggalan jaringan 3-5, laporan berbentuk positif diperlukan bagi menaikkan semangat pemain dan juga penyokong di Bukit Jalil nanti.

Contohi cara media Indonesia menghidupkan semangat dan keghairahan penyokong mereka menjelang aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta meskipun mereka telah tewas 0-3 kepada Malaysia pada final pertama di Kuala Lumpur.


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)