FIFA gantung Hammam seumur hidup

Monday, July 25, 2011
ZURICH - Pemimpin bola sepak Asia, Mohamed Hammam, 62, digantung daripada sebarang kegiatan sukan itu untuk seumur hidup semalam, selepas didapati terlibat dalam rasuah, umum Jawatankuasa Tatatertib FIFA setelah perbicaraan dua hari.

Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari Qatar itu didakwa cuba merasuah beberapa pegawai bola sepak Caribbean dengan tunai A$40,000 (RM119,000) bagi mengundinya pada pemilihan presiden FIFA.

Menurut seorang pemberi maklumat, Hammam dikatakan cuba membeli undi dengan mengagihkan sampul surat berisi wang tunai sewaktu mesyuarat Kesatuan Bola Sepak Caribbean CFU di Port of Spain, Trinidad Tobago pada 10-11 Mei lalu.

"Pegawai terbabit, Hammam digantung daripada mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti berkaitan bola sepak peringkat kebangsaan atau antarabangsa untuk seumur hidup," umum timbalan pengerusi jawatankuasa tatatertib, Petrus Damaseb.

Hammam tidak menghadiri perbicaraan itu yang dilangsungkan secara tertutup di ibu pejabat FIFA di Zurich, namun dia memberitahu AFP dia mahu membuat rayuan.

Katanya, langkah pertama adalah membuat rayuan kepada FIFA, namun dia sebelum itu juga menyatakan kesediaan membawa kes membabitkannya itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan jika keperluan ke mahkamah sivil.

Ketua pasukan perundangan Hammam, Eugene Gulland, membaca kenyataan anak guamnya sejurus keputusan diumumkan.

"Hammam menolak keputusan perbicaraan yang dibuat Jawatankuasa Tatatertib FIFA dan tetap dengan pendiriannya dirinya tidak bersalah.

"Dia akan terus memperjuangkan kes ini menerusi saluran perundangan lain yang terbuka untuknya," kata Gulland. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)